100 tan gandum dan pek makanan sedia bertolak dari Mesir

Misi Kemanusiaan Kelantan ke Gaza

- Advertisement -

KAHERAH, MESIR: Delegasi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan kini berada di Mesir dalam misi kritikal untuk menyelaraskan penghantaran bantuan makanan berskala besar ke Semenanjung Gaza.

Misi tersebut menyasarkan pengumpulan dan penghantaran tiga buah kontena berisi gandum serta sebuah kontena tambahan yang dimuatkan dengan pek makanan sedia dimakan bagi menampung keperluan mendesak penduduk Palestin yang kini berdepan krisis kebuluran tahap kritikal.

- Advertisement -

Wakil daripada Negeri Kelantan diketuai oleh Setiausaha Yayasan Amal Negeri, Nazman Che Iberahim bersama dua Ahli Jawatankuasa Kerja, Nazri Deraman dan Norhaiti Ibrahim.

Kehadiran mereka di Cairo adalah bagi memastikan setiap proses logistik berjalan lancar sebelum bantuan tersebut dibawa masuk melalui sempadan.

Delegasi itu turut diperkukuhkan dengan penglibatan daripada wakil Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah serta dari cawangan Perlis dan Pulau Pinang yang menunjukkan solidariti utuh rakyat Malaysia dari pelbagai negeri.

Bagi memastikan kelancaran operasi di lapangan, Yayasan Amal Malaysia mendapat kerjasama erat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yemen Care serta rakan kerjasama tempatan yang berpengaruh di New Solahiah, negeri Ismailiah, iaitu Gazze Destek Derneği (GDD).

GDD merupakan NGO kemanusiaan berpangkalan di Turkiye yang ditubuhkan sejak 2014 dan mempunyai kepakaran luas dalam memulihkan kedai roti serta mengagihkan bantuan kecemasan di zon konflik Gaza.

Misi kemanusiaan tersebut turut mendapat sokongan penuh dan dukungan daripada Kerajaan Negeri Kelantan.

Melalui misi itu, pihak kerajaan negeri telah mengirimkan sumbangan khusus untuk disalurkan kepada penduduk Gaza sebagai tanda kebersamaan rakyat Kelantan dalam meringankan penderitaan saudara seagama di sana.

Kerjasama antara pihak kerajaan dan NGO itu membuktikan komitmen berterusan Negeri Serambi Makkah dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Situasi semasa di Gaza amat menyayat hati dengan laporan menunjukkan hampir keseluruhan penduduk bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar untuk kelangsungan hidup.

Bantuan empat kontena itu dianggap sangat penting sebagai talian hayat buat ribuan keluarga yang kini sedang bersiap sedia menyambut bulan Ramadan dalam keadaan serba kekurangan.

Trak-trak bantuan itu dijangka akan dilepaskan secara rasmi pada hari Jumaat, bersamaan dengan 2 Ramadan, melalui pintu sempadan Rafah seterusnya masuk ke kawasan bergolak Gaza.

Sempena kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak ini, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan menyeru rakyat Malaysia yang budiman untuk terus menghulurkan sumbangan bagi memastikan bantuan makanan itu dapat dinikmati secara berterusan oleh penduduk Gaza.

“Setiap sumbangan anda, sekecil mana pun, amat bermakna bagi mereka yang sedang berjuang melawan kelaparan di bumi anbiya tersebut,” ujar kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun RHB Islamic (Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan) 2530-1600-0084-98 dengan meletakkan #Amal4Gaza sebagai rujukan. – HARAKAHDAILY 19/2/2026

- Advertisement -