Perlu JK Siasatan Khas: ‘Angka RM1.1 bilion bukan kecil’

PN gesa tubuh Jawatankuasa Khas siasat perjanjian mega

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menubuhkan segera sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan bertaraf Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat perjanjian mega dianggarkan bernilai RM1.1 bilion yang kini dalam siasatan.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa itu perlu diketuai oleh seorang bekas hakim mahkamah atasan bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan bebas.

- Advertisement -

“Langkah tegas dan segera amat perlu diambil jika kerajaan benar-benar serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah laku hingga ke akar umbi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur dan retorik semata-mata kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran serta fakta sebenar berhubung perkara itu.

Menurutnya, ahli-ahli Parlimen PN merakamkan rasa terkejut dan bimbang susulan laporan media berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perjanjian mega tersebut yang dibuat antara kerajaan pusat dengan sebuah syarikat asing.

“Lebih serius, berdasarkan maklumat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perjanjian ini juga melibatkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa.

“Angka RM1.1 bilion bukan kecil, selain merupakan dana awam dan melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap integriti sistem pentadbiran kerajaan,” hujah beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan, kegagalan bertindak secara tegas dan telus hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu atau seseorang.

“PN akan terus memantau perkara ini secara dekat bagi memastikan prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti dan integriti ditegakkan tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan sebuah syarikat asing bernilai RM1.1 bilion susulan aduan beberapa NGO yang mendakwa ia dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah.

Berdasarkan dokumen yang diterima, siasatan turut meneliti isu ketirisan dana, dakwaan perjanjian tidak mendapat persetujuan Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, serta kemungkinan wujud konflik kepentingan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan beberapa saksi termasuk Ketua Setiausaha kementerian akan dipanggil bagi membantu siasatan. – HARAKAHDAILY 19/2/2026

- Advertisement -