PAS rakam takziah pemergian Tun Abdul Hamid

Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan dukacita dan takziah kepada seluruh keluarga mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang meninggal dunia pada usia 84 tahun, hari ini.
 
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ucapan takziah itu ditujukan kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian tokoh berkenaan.
 
“Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam mereka yang beriman dan beramal soleh,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Terdahulu, media tempatan melaporkan jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan urusan pengebumian dijangka dilaksanakan selepas solat Asar.
 
Tun Abdul Hamid Mohamad dikenali atas sumbangan besar beliau kepada sistem kehakiman negara serta peranannya dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus badan kehakiman Malaysia sepanjang perkhidmatan.
 
Allahyarham dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.
 
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi sebelum melanjutkan pelajaran menengah di St Xavier’s Institution dan seterusnya memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Singapura pada 1969.
 
Kerjaya beliau dalam perkhidmatan kehakiman bermula sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak.
 
Sepanjang tempoh itu, beliau turut memegang beberapa jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.
 
Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 serta Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003, sebelum kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada usia 65 tahun. – HARAKAHDAILY 19/2/2026

- Advertisement -
- Advertisement -