
KUALA LUMPUR: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengeluarkan ‘kata putus’ terhadap isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di negeri tersebut perlu disambut baik dan dimuktamadkan dengan segera.
Pengerusi Sekretariat Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia, Dr Ainul Asyraf Lokman berkata, situasi itu bukan hanya berlaku di Selangor, malah ia turut dilaporkan berlaku di negeri lain termasuk Kedah dan Melaka.
Menurutnya, kenyataan baginda dikeluarkan 10 Februari lalu itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menekankan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus teratur tanpa menafikan hak kebebasan mengamalkan agama.
“Sebarang pembinaan rumah ibadat; tanpa mengira agama; hendaklah mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk undang-undang tanah, perancangan bandar dan kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Tindakan menceroboh tanah milik Kerajaan atau milik persendirian untuk tujuan pembinaan rumah ibadat merupakan satu pelanggaran undang-undang yang tidak boleh dibiarkan atau disahkan secara retrospektif,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah Ainul Asyraf, pemilikan tanah merupakan elemen utama kerana pembinaan struktur tanpa kebenaran membabitkan pencerobohan tanah kerajaan mahupun persendirian.
Beliau menegaskan, hak milik tanah menjadi hak yang dilindungi undang-undang termasuk Kanun Tanah Negara 1965 selain memberi hak milik kepada pihak lain untuk membina tanpa kebenaran pemilik bakal menimbulkan konflik.
“Hak milik tanah adakah hak yang dilindungi undang-undang termasuk dibawah Kanun Tanah Negara 1965, memberi hak milik kepada mana-mana pihak membina tanpa kebenaran di atas tanah bukan milik akan mewujudkan satu duluan.
“Ini akan mewujukan satu duluan (precedent) yang berbahaya, berpotensi menggalakan gelombang pencerobohan baharu serta melemahkan penghormatan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan sistem perundangan negara,” hujahnya.
Pada masa sama, pihaknya turut menekankan bahawa kebebasan beragama yang menjadi hak yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, namun hak tersebut dilaksanakan dalam kerangka undang-undang dan peraturan yang sah.
“Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Baginda menekankan aspek toleransi, keharmonian kaum dan keperluan mematuhi garis panduan dan kelulusan sah perlu dihormati oleh semua pihak di negeri itu,” tambah beliau.
Apatah lagi, ujarnya, dalam sebuah masyarakat berbilang kaum, prinsip saling hormat menghormati sewajarnya dihayati bersama dengan prinsip kedaulatan undang serta menghormati amalan agama lain yang ada di negara ini.
“Kami menyeru pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab pemantauan dan penguatkuasaan secara telus, adil dan konsisten, semua agama memastikan pembinaan rumah ibadat dibuat melalui permohonan dan kelulusan yang sah.
“Kami mengajak seluruh rakyat bertenang, mengelakkan sebarang provokasi, serta menyelesaikan isu ini melalui saluran undang-undang dan dialog berhemah demi menjamin keamanan, keselamatan dan keharmonian,” katanya.
Terdahulu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di Selangor dapat dihentikan dan dimuktamadkan segera kerana ia telah menimbulkan keresahan rakyat sejak sekian lama.
Titah yang disampaikan Setiausaha Sulit kepada Baginda, Datuk Mohamad Munir Bani juga menegaskan bahawa pembinaan tanpa kebenaran itu turut menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat di negeri berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/2/2026











