
KUALA LUMPUR: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat telah menganjurkan program Ziarah Mahabbah yang digerakkan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama termasuk agihan limau mandarin sempena Tahun Baru Cina membabitkan sebahagian pimpinan peringkat Parlimen parti.
Pengerusinya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, langkah tersebut dilaksanakan bagi menangkis salah faham dan menarik sokongan orang bukan Islam terhadap dasar perjuangan Islam yang dibawah oleh PAS selama ini.
Menurutnya, LPN merupakan salah satu entiti dalam struktur PAS berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan parti itu dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Sehubungan itu, satu program Ziarah Mahabbah diadakan bersama Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail sebagai usaha mengeratkan hubungan silaturahim antara kaum serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Program ini memberi ruang kepada pimpinan dan masyarakat setempat untuk saling mengenali, bertanya khabar serta berkongsi kegembiraan musim perayaan dalam suasana penuh harmoni dan saling menghormati,” katanya.
Turut hadir dalam aktiviti diadakan di zon Parlimen Jasin kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Sungai Rambai itu ialah Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin dan Pengerusi Muafakat Nasional, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Dalam pada itu, Dr Najihatussalehah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota menyatakan, pendekatan ziarah dari rumah ke rumah mencerminkan nilai kebersamaan dan kesepakatan yang menjadi asas kekuatan keharmonian kaum dan agama di negara ini sejak merdeka.
“Selain menyampaikan ucapan selamat Tahun Baharu Cina, ia juga menjadi wadah bagi seorang wakil rakyat mendengar sendiri keluhan, keperluan penduduk serta mendekati sebarang permasalah dengan lebih dekat,” ujarnya.
Tambah beliau, aktiviti tersebut menzahirkan kesungguhan yang berterusan dalam memupuk perpaduan nasional selari dengan aspirasi untuk membina perpaduan masyarakat selain perasaan saling menghormati antara satu sama lain.
“Pendekatan ziarah seperti ini mencerminkan nilai kebersamaan dan kesepakatan yang menjadi asas kekuatan negara serta menyampaikan ucapan selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua terutamanya di Parlimen Jasin.
“Ziarah Mahabbah ini juga melambangkan komitmen dalam memupuk perpaduan nasional, selaras aspirasi membina masyarakat bersatu padu, saling menghormati kepelbagaian budaya serta hidup dalam aman dan sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2026











