‘Pemimpin Melayu jenis apa ini?’ Roslan tempelak Zaid Ibrahim

Polemik Isu babi di Selangor

Roslan Shahir Mohd Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan ladang ternakan babi di Selangor bukan soal larangan memakan daging babi, sebaliknya membabitkan lokasi dan kesan pencemaran di kawasan berpenduduk padat.

Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, tidak ada orang Islam di Malaysia termasuk di Selangor yang mahu melarang rakyat bukan Islam memakan daging babi.

- Advertisement -

Namun tegasnya, isu sebenar adalah kewujudan ladang ternakan babi di negeri yang pesat membangun serta padat penduduknya.

“Ladang yang dulu di Sepang dan Kuala Langat bukan hanya tidak terkawal pencemarannya, pembangunan pesat di kawasan sekeliling mengakibatkan pembangunan tadi semakin menghampirinya.

“Tak perlulah Datuk Zaid (Ibrahim) mahu menunggang isu ini menjadikannya isu perkuaman atau agama pula,” tempelak Roslan dalam media sosial miliknya.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan terbaharu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Zaid Ibrahim dalam media sosial miliknya.

Zaid Ibrahim menyatakan supaya masyarakat Cina Malaysia tidak bimbang mengenai ketiadaan babi panggang susulan larangan penternakan babi komersial di Selangor.

Ia kerana jelas Zaid, Belanda menguruskan industri itu secara saintifik, bersih dan cekap serta merupakan antara pengeksport utama di Eropah.

“Jadi usah risau. Suatu hari nanti, anda akan mendapat kerajaan yang diterajui Melayu yang mempertimbangkan dasar awam secara tenang dan tidak cenderung kepada sensasi,” dakwanya.

Walau bagaimanapun, Roslan Shahir berkata, ladang di Kuala Langat dan Sepang kemudiannya dirancang untuk dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor sebelum Sultan Selangor mengarahkan ia ditutup sepenuhnya.

Beliau turut menyatakan bahawa berdasarkan titah baginda, pilihan lain ialah mengimport daging berkenaan untuk kegunaan rakyat Selangor.

Menurutnya lagi, jika dua kawasan terbabit mempunyai majoriti penduduk Melayu, Parlimen Hulu Selangor juga dianggarkan mencecah 70 peratus pengundi Melayu.

“Datuk Zaid sendiri pernah jadi calon PKR bertanding di kawasan Parlimen ini takkan tak tahu?

”Kerana itulah lebih baik Datuk Zaid bina banglonya berhampiran ladang babi yang ada dan tinggal di sana.

“Biar dia beri testamen aman atau terganggu hidupnya. Pelik ada pemimpin Melayu berfikiran begini. ‘Shame’ …,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2026

- Advertisement -