
KOTA BHARU: Isu melibatkan pendudukan tanah dan rumah ibadat, khususnya kuil, perlu dilihat secara menyeluruh berasaskan undang-undang serta keadilan sosial, tanpa dipengaruhi naratif yang boleh menimbulkan salah faham antara kaum.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, sejak kebelakangan ini wujud usaha tertentu yang cuba menggambarkan isu berkenaan sebagai penindasan terhadap masyarakat India, sekali gus menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS.
Menurutnya, hakikat sebenar isu tersebut bukan berkaitan agama atau kaum, sebaliknya melibatkan soal pemilikan tanah dan pematuhan kepada undang-undang yang sedia ada.
“Dalam suasana politik dan sosial yang sensitif, isu teknikal mudah dimanipulasi menjadi isu emosi sehingga boleh meretakkan hubungan antara kaum jika tidak dijelaskan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, dalam polemik berkenaan terdapat beberapa kelompok yang perlu difahami oleh masyarakat agar isu sebenar tidak disalah tafsir.
Katanya, terdapat dakwaan bahawa dalam beberapa kes pertikaian tanah, ada pihak tertentu mengambil kesempatan dengan merancang pendudukan tanpa hak milik sah, mengutip dana atas nama pembinaan atau mempertahankan rumah ibadat serta membina naratif penindasan bagi meraih sokongan.
Menurutnya lagi, rakyat perlu menilai secara rasional siapa yang sebenarnya mendapat manfaat daripada isu tersebut, termasuk pihak yang mengurus dan mengawal dana yang dikutip.
“Dalam banyak keadaan, golongan biasa dijadikan benteng atas nama maruah agama dan bangsa, sedangkan keuntungan sebenar dinikmati kelompok berkepentingan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata isu agama dan kaum sering dijadikan modal politik bagi meraih sokongan, sehingga isu undang-undang ditukar menjadi polemik penindasan kaum yang mengaburkan fakta sebenar.
Tambah beliau, rakyat perlu matang dalam menilai sesuatu isu dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang dimainkan atas nama kaum atau agama.
Firdaus turut mengingatkan masyarakat pelbagai kaum supaya tidak membuat generalisasi terhadap mana-mana komuniti, kerana majoriti masyarakat India merupakan rakyat yang patuh undang-undang serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kesalahan segelintir tidak boleh digeneralisasikan kepada seluruh kaum kerana ia hanya akan menyuburkan prasangka,” katanya.
Beliau menegaskan isu berkenaan perlu dilihat berasaskan tiga prinsip utama iaitu kedaulatan undang-undang, keadilan sosial yang konsisten kepada semua serta penolakan politik adu domba.
Menurutnya lagi, pelaksanaan undang-undang secara adil tanpa memilih agama mampu menghapuskan persepsi berat sebelah dan mengelakkan masyarakat daripada diperalatkan oleh pihak berkepentingan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya berfikir secara rasional dan tidak membiarkan emosi mengatasi fakta demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini. – HARAKAHDAILY 16/2/2026











