
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan beliau akan menyokong serangan Israel ke atas apa yang didakwanya sebagai lokasi program peluru berpandu balistik Iran jika rundingan antara Washington dan Tehran gagal.
Trump membuat kenyataan itu ketika beliau bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Mar-a-Lago di Florida pada bulan Disember tahun lepas, menurut laporan CBS News pada Ahad (15 Februari 2026), memetik dua sumber yang dirahsiakan identitinya.
Laporan berita tersebut disokong oleh Reuters, BBC, dan lain-lain, tetapi bergantung pada sumber yang tidak dinamakan dan tidak mempunyai pengesahan rasmi.
Sementara agensi berita China, Xinhua melaporkan bahawa pegawai tentera dan perisikan AS juga telah membincangkan bagaimana Washington boleh membantu Israel dalam operasi berpotensi terhadap infrastruktur peluru berpandu Iran, termasuk menyediakan pengisian bahan api udara untuk pesawat Israel dan membantu mendapatkan kebenaran penerbangan dari negara serantau yang berkaitan.
Walau bagaimanapun tambah laporan itu, Jordan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak akan membenarkan ruang udara mereka digunakan untuk sebarang serangan terhadap Iran, mahupun Iran melancarkan serangan ke atas negara lain.
Juga pada hari Ahad, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata semasa lawatan ke Slovakia bahawa beliau lebih suka menyelesaikan ketegangan dengan Iran melalui cara diplomatik.
Pusingan kedua rundingan nuklear AS-Iran dijangka diadakan di Geneva pada hari Selasa (17 Februari 2026).
“Utusan Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff dan menantu Donald Trump, Jared Kushner, akan mewakili Washington dalam rundingan tersebut,” kata Rubio.
Menurutnya, pertemuan itu menyusuli pusingan pertama di Muscat, Oman pada 6 Februari 2026 yang digambarkan oleh kedua-dua pihak sebagai ‘permulaan yang baik’ tetapi tidak menghasilkan sebarang kejayaan yang ketara.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, dilaporkan berlepas ke Geneva pada Ahad (15 Februari 2026) untuk pusingan kedua rundingan tidak langsung Tehran-Washington, walaupun pihak-pihak berkaitan mengemukakan visi yang sangat berbeza tentang apa yang sepatutnya diperlukan oleh perjanjian itu, mendedahkan asas rapuh usaha diplomatik yang diperbaharui.
Araghchi mengetuai delegasi ‘diplomatik dan khusus’ ke rundingan pada hari Selasa itu.
Beliau dijangka bertemu termasuk dengan Menteri Luar Switzerland, Ignazio Cassis; Menteri Luar Oman, Sayyid Badr bin Hamad Al Busaidi, dan Rafael Grossi, ketua pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Rafael Grossi. – HARAKAHDAILY 16/2/2026











