
KOTA KINABALU: Ketakutan terhadap perkara berkaitan dalam talian, teknologi digital, aplikasi pintar, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan platform seperti ChatGPT, perlu diketepikan.
Menurut ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, ini kerana semua itu kini merupakan realiti, bukan lagi fantasi.
“Kalau dulu kita takut dengan perkara digital, hari ini kita tidak boleh takut lagi. Kita mesti bermesra dengan cara ini kerana kita mahu runtuhkan tembok ketakutan dan kerisauan terhadap dunia realiti digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemasaran Digital Usahawan Sabah 2026, di HAS Hotel Kingfisher, di sini, kelmarin.
Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Kasih Hawa Negeri Sabah (Kasih Hawa), Rasina Abu, Pengerusi NGO Persatuan Suri Cinta Ilmu Kota Kinabalu (SURI) dan IT Trainer & Consultant, Azhar Ramali.
Aliakbar menekankan transformasi digital masa kini menuntut usahawan agar berani melangkah keluar daripada zon selesa dan mendepani realiti baharu berasaskan teknologi.
Menurutnya, dalam dunia perniagaan hari ini, aktiviti pemasaran boleh dilakukan seawal hari pertama operasi kedai, asalkan peniaga bersedia untuk berjinak-jinak dan mesra dengan sistem digital yang ada.
“Dunia sekarang ini, kita kena mesra kepada sistem yang berasaskan digital. Apa pun kita tidak boleh nafikan, hanya dengan telefon pintar dan aplikasi tertentu, kita sudah boleh sampai ke mana-mana,” ujarnya dalam program yang dihadiri hampir 100 usahawan dari seluruh negeri.
Tambanya, fenomena kejayaan usahawan digital seperti Khairul Aming membuktikan realiti baharu dunia perniagaan, apabila produk mampu habis terjual dalam tempoh beberapa minit hasil pemasaran digital yang berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada NGO Kasih Hawa dan NGO SURI atas inisiatif menganjurkan program tersebut yang bertujuan memperkasa ilmu dan kemahiran digital dalam kalangan usahawan.
“Kita mempunyai iltizam yang sama, hasrat yang sama, kita sentiasa bincang apa lagi yang kita boleh bantu masyarakat selain daripada bakul makanan, baik kita bagi ilmu, supaya nanti peniaga ini pula yang akan mengeluarkan bakul makanan, saya rasa rantaian ini yang sangat penting untuk kita maju ke hadapan.
“Apa pun kejayaan kita, pasti bermula daripada kejayaan dan iltizam dalaman, jangan putus asa, cuba sekali mungkin tidak jadi, cuba lagi kali kedua tidak juga menjadi, mohon doa pada Allah Taala, buka sejadah dan solat hajat, mungkin ada benda yang kita kurang, kita baiki, kita muhasabah, kalau perlu bincang semula dengan pakar digital, pakar motivasi apalagi yang kurang, kita lengkapkan pakej,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2026











