
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menetapkan waktu operasi premis makanan dan minuman pada siang hari sepanjang bulan Ramadan 1447H/2026M dalam kawasan pentadbirannya bermula jam 3 petang hingga 6 pagi.
Makluman tersebut dikeluarkan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan teratur serta menghormati suasana Ramadan, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.
Menurut satu kenyataan dari MPKB-BRI, premis makanan dan minuman milik Muslim hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 3 petang hingga 6 pagi dan urusan sebelum waktu berbuka puasa adalah bagi tujuan beli dan bungkus sahaja.
Bagi premis makanan dan minuman bukan Muslim pula, operasi adalah tertakluk kepada kelulusan lesen MPKB-BRI, hanya melibatkan pelanggan bukan Muslim serta perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan itu.
Selain itu, restoran makanan segera serta ruang makan di premis perniagaan kedai serbaneka turut tertakluk kepada waktu operasi yang sama, iaitu bermula jam 3 petang hingga 6 pagi dengan syarat jualan sebelum berbuka puasa adalah untuk beli dan bungkus sahaja.
MPKB-BRI turut memaklumkan mana-mana pengusaha premis makanan dan minuman yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-undang Kecil Pengawalan dan Penyeliaan Establisymen Makanan MPKB 1997, termasuk denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketetapan tersebut berkuat kuasa bermula 1 Ramadan 1447H yang jangka jatuh pada 19 Februari ini. – HARAKAHDAILY 16/2/2026











