Lebih 10,000 rakyat sertai bersama Sultan Kelantan

Memeriahkan acara Walkathon D’ Raja-Walk With Me 2026

Sultan Muhammad V mencemar duli bersama lebih 10,000 rakyat menyertai program Walkathon D’ Raja-Walk With Me 2026.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah berkenan mencemar duli bersama lebih 10,000 rakyat menyertai program Walkathon D’ Raja-Walk With Me 2026 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

- Advertisement -

Program yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada malam Sabtu itu
bermula di pekarangan stadium dengan keberangkatan tiba kedua-dua baginda kira-kira jam 11.18 malam sebelum berkenan merasmikan acara tersebut.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, bersama saf kepimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli exco serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selepas perasmian, kedua-dua baginda turut berkenan berjalan kaki bersama rakyat sejauh 3.2 kilometer dalam suasana penuh meriah dan harmoni.

Terdahulu, peserta walkathon turut menyaksikan gimik pelancaran pertunjukan 350 dron yang menampilkan 10 formasi menarik termasuk elemen warisan seperti wayang kulit, gasing, beca, pintu gerbang dan rebana ubi.

Orang ramai mula membanjiri perkarangan stadium sejak awal malam bagi mengikuti program tersebut di samping menikmati pelbagai gerai jualan yang disediakan.

Program yang dianjurkan sempena cuti sekolah dan sambutan Tahun Baharu Cina itu turut menarik penyertaan anak Kelantan di perantauan yang mengambil peluang pulang ke kampung halaman untuk bersama-sama memeriahkan acara berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/2/2026

- Advertisement -