Kaji, semak semula sistem, silibus pendidikan negara

Awang Hashim dalam program Townhall 2.0 Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A) di Kuantan, Pahang.
- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan digesa agar mengkaji dan menyemak semula keseluruhan sistem serta silibus pendidikan negara susulan ketidakpadanan antara peruntukan besar yang dibelanjakan dengan hasil pencapaian pendidikan semasa.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, data yang dibentangkan oleh pakar dalam satu program town hall berkaitan pendidikan dan krisis akhlak menunjukkan keadaan yang membimbangkan.

- Advertisement -

Menurutnya, berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Pendidikan, Malaysia merupakan antara negara yang memperuntukkan belanja tertinggi bagi sektor pendidikan dalam kalangan negara ASEAN, namun pencapaian yang diperoleh tidak setimpal dengan perbelanjaan tersebut.

“Perbandingan dengan negara ASEAN lain menunjukkan negara seperti Vietnam membelanjakan jumlah yang lebih rendah, tetapi mencatatkan hasil pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily pada program Townhall 2.0 Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A) yang berlangsung di Dewan Orkid, BCIC Lodge, Kompleks Dagangan Mohkota, di sini.

Awang menegaskan, kemerosotan prestasi dalam mata pelajaran teras seperti matematik, sains, fizik dan biologi amat membimbangkan kerana bidang tersebut menjadi asas kepada kelahiran tenaga profesional seperti saintis, doktor dan ahli farmasi.

“Kelemahan itu mungkin berpunca daripada perancangan yang tidak tepat, sekali gus menyebabkan pembaziran peruntukan tanpa menghasilkan impak yang diharapkan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap kandungan silibus pendidikan dengan memberi penekanan kepada pembentukan akhlak dan nilai integriti.

“Pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi perlu bersandarkan nilai akhlak dan akidah. Ia penting untuk melahirkan generasi profesional yang berintegriti serta bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha NGO yang menganjurkan program dialog awam seperti town hall kerana memberi ruang kepada masyarakat dan pembuat dasar untuk menilai semula hala tuju pendidikan negara.

“Program yang dianjurkan oleh NGO-NGO pada hari ini memberikan rangsangan yang amat positif kepada masyarakat dan juga kerajaan, khususnya kepada ibu bapa sebagai tunjang utama dalam membentuk karakter anak-anak. Kita memahami bahawa anak-anak dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih, dan ibu bapalah yang berperanan mencorakkan masa depan mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, justeru, program seperti ini wajar diadakan secara berterusan, termasuk sesi town hall yang dapat merumuskan resolusi untuk diangkat kepada para pembuat dasar, sama ada dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.

“Usaha ini penting bagi membina semula tamadun negara berteraskan akhlak, apatah lagi ketika kita berdepan dengan gejala sosial yang semakin membimbangkan.

“Jadi kita perlu laksanakan satu perubahan dengan segera. Sekiranya dibiarkan, keadaan ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada negara, malah akan meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan dalam usaha menangani gejala sosial yang kian meruncing,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Minda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menzahirkan kebimbangan terhadap penurunan bilangan pelajar Melayu Bumiputera dalam bidang sains tulen meskipun Malaysia dilaporkan menghasilkan graduan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) paling tinggi di peringkat dunia.

Menurut anuar, data Lembaga Peperiksaan Malaysia menunjukkan jumlah graduan STEM negara berada di tangga teratas berbanding negara seperti Jepun dan Jerman.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, definisi STEM di Malaysia kini terlalu luas sehingga aktiviti seperti penanaman bunga atau latihan salun turut dikira sebagai STEM, sekali gus memberi gambaran jumlah yang tinggi tetapi tidak mencerminkan kualiti sebenar dalam bidang sains tulen.

Berdasarkan kajian terkini, pada tahun 2010, sebanyak 30 peratus pelajar memilih bidang sains tulen Namun, jumlah itu menurun kepada 19 peratus pada 2018 dan hanya 15 peratus pada 2023.

Sehubungan itu Anuar meramalkan, dalam lima tahun akan datang, bilangan pelajar Melayu Bumiputera yang mengambil sains tulen mungkin kurang daripada 10 peratus jika tiada tindakan segera diambil.

“Daripada 15 peratus pelajar sains tulen pada 2024, 50 peratus gagal dalam matematik tambahan, bermakna hanya sekitar tujuh peratus berkelayakan memohon ke universiti,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2026

- Advertisement -