Pengarang UPKN raih anugerah Sayembara Penulisan Kreatif DBP

Norzana (dua dari kanan) membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarang Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Norzana Razaly atas kejayaan memenangi tempat ketiga Sayembara Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kemenangan tersebut dianggap signifikan sebagai satu pengiktirafan terhadap bakat penulisan anak Kelantan.

- Advertisement -

Menurutnya, kejayaan berkenaan diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai penjawat awam untuk terus berkarya serta menyumbang kepada dunia ilmu dan persuratan negara.

“Saya ucapkan tahniah kepada beliau (Norzana Razaly) atas kejayaan tersebut yang turut dianggap sebagai sebuah inovasi ciptaan anak Kelantan dalam landskap kompetensi penjawat awam negeri.

“Daripada 10,845 orang penjawat awam Kelantan, pengarang UPKN berjaya mencipta sejarah baharu dengan pencapaian yang membanggakan dalam bidang kesusasteraan kreatif,” katanya di sini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada Sabtu.

Norzana yang lebih dikenali sebagai Zanazanzaly membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 menerusi sayembara yang dilancarkan pada 23 Julai 2024 dan berakhir pada 31 Mac 2025.

Norzana tampil dengan novel bertajuk Emas Serial Berat dan berjaya mengatasi persaingan 109 manuskrip lain bagi kategori novel.

Sehubungan itu, Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025 bagi kategori novel menyaksikan tiada pemenang tempat pertama dan kedua kerana tiada karya yang memenuhi tahap kecemerlangan yang ditetapkan panel penilai. – HARAKAHDAILY 16/2/2026

- Advertisement -