Tahun Baharu Cina: ADUN Semenyih edar limau mandarin

Nushi (dua dari kiri) turun padang santuni rakyat sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
- Advertisement -

KAJANG: Bersempena dengan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut esok, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz meluangkan masa turun padang bagi menyantuni masyarakat pelbagai kaum di kawasan pilihannya.

Menerusi siri tinjauan mesra itu, beliau mengedarkan buah limau mandarin kepada para peniaga dan pengunjung di sekitar pusat penjaja, deretan kedai, pasar pagi, serta pasar awam setempat.

- Advertisement -

Selain menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina khusus buat pengundi masyarakat Tionghua, lawatan tersebut turut dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan untuk merapatkan ukhuwah bersama rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa.

Turut serta Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum Cina kepada ADUN Semenyih, Edwin Chen Win Keong

Menurut Nushi, beliau mengambil inisiatif proaktif menjadikan pertemuan itu sebagai platform untuk melaporkan secara terus kepada rakyat mengenai perkembangan inisiatif-inisiatif yang berjaya dilaksanakan sejak diamanahkan memegang jawatan tersebut.

“Pendekatan ‘pemimpin bersama rakyat’ itu disambut baik oleh penduduk tempatan,” katanya.

Turut serta Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum Cina kepada ADUN Semenyih, Edwin Chen Win Keong

Sehubungan itu, orang ramai dilihat menggunakan kesempatan berkenaan untuk menyuarakan aduan serta permasalahan berhubung isu-isu kebajikan setempat.

Sesi tersebut berlangsung dalam suasana harmoni dengan kedua-dua pihak saling bertukar pandangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan penduduk Semenyih.

Dalam pada itu, Nushi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengundi kaum Cina di kawasan tersebut atas sokongan padu yang diberikan sepanjang tahun lalu.

“Besar harapan agar lebih banyak program serta aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan penglibatan masyarakat Cina dapat dianjurkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2026

- Advertisement -