Ketidakpastian KIA: MB Pahang digesa beri penjelasan

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mendesak penjelasan segera kerajaan negeri berhubung status sebenar projek Kuantan International Airport (KIA).

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, KIA dilihat masih berdepan ketidakpastian dari segi pembiayaan, komitmen pelabur dan garis masa pelaksanaan, sedangkan ia merupakan projek berskala besar melibatkan kepentingan awam.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan negeri melalui Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tampil memberikan penjelasan rasmi dan komprehensif dengan kadar segera.

Beliau berkata, ketiadaan penjelasan rasmi yang menyeluruh khususnya berkaitan model pembiayaan Inisiatif Pembiayaan Persendirian (PFI) serta sasaran pengoperasian sekitar 2026 menimbulkan persoalan terhadap ketelusan dan hala tuju projek strategik itu.

“Merujuk kepada siri kenyataan kami sebelum ini, Pemuda PAS Pahang memandang serius ketidakjelasan berterusan berkaitan status sebenar projek KIA, khususnya melibatkan model pembiayaan PFI, komitmen pelabur serta sasaran pengoperasian yang pernah diumumkan sekitar tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sehingga kini, ketiadaan penjelasan rasmi yang menyeluruh daripada kerajaan negeri terutama Menteri Besar telah menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan, hala tuju serta daya maju projek strategik ini.

“Kerajaan negeri perlu menyatakan secara jelas siapakah pelabur atau konsortium sebenar yang terlibat, struktur pembiayaan yang dipersetujui, serta sama ada komitmen pelaburan tersebut masih kukuh atau telah berubah,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan kebolehsanggupan pelabur untuk meneruskan pembiayaan projek sekiranya berlaku penyusunan semula pelaburan.

“Adakah pihak pelabur masih berkeupayaan meneruskan pembiayaan projek seperti dirancang? Jika berlaku penyusunan semula pelaburan, apakah implikasinya terhadap skop, kos dan jadual projek?” soalnya.

Selain itu, katanya, tahap kemajuan fizikal projek juga perlu dijelaskan secara telus, termasuk sama ada pembangunan berjalan mengikut jadual asal atau mengalami kelewatan, serta punca kelewatan dan pelan pemulihan yang dirangka.

“Berdasarkan keadaan semasa pembiayaan dan kemajuan projek, adakah sasaran pengoperasian 2026 seperti yang telah diumumkan pada tahun 2022 masih boleh dicapai? Jika tidak, apakah garis masa baharu yang realistik?” soalnya lagi.

Ahmad Azlan turut meminta kerajaan negeri memperincikan peranan serta mekanisme pemantauan yang dilaksanakan bagi memastikan kepentingan negeri dan rakyat dilindungi.

“Apakah bentuk kawal selia dan pemantauan yang dilaksanakan terhadap projek PFI ini bagi memastikan kepentingan negeri dan rakyat tidak terjejas,” katanya.

Beliau turut minta kerajaan menggariskan risiko kewangan dan implikasi terhadap perancangan ekonomi negeri sekiranya projek tertangguh atau komitmen pelabur berubah.

“Apakah kesan kepada kos keseluruhan, perancangan ekonomi negeri serta keyakinan pelabur masa depan?” soalnya juga.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, tampil memberikan penjelasan rasmi dan komprehensif dalam kadar segera bagi memulihkan keyakinan awam terhadap pelaksanaan projek tersebut.

“Diam bukan jawapan. Ketelusan adalah tanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2026

- Advertisement -