
KUALA LUMPUR: ‘Tukar Epstein kepada Einstein’ bagi menyelamatkan nasib lebih 21,000 remaja yang terjerumus dalam isu kehamilan luar nikah di negara ini, demikian gesa Pengerusi Lajnah Kesihatan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Zulkifli Mohamad,
Beliau berkata, tatkala masyarakat antarabangsa lantang mengecam pendedahan jenayah eksploitasi remaja bawah umur dalam kes Epstein File, rakyat Malaysia juga perlu sedar dan bertindak memulihkan krisis realiti yang sedang meruncing di depan mata.
Menurut beliau, rekod 21,114 remaja hamil luar nikah bagi tempoh 2019 hingga 2024 bukanlah sekadar angka rasmi, sebaliknya ia mewakili anak-anak muda yang keliru, tertekan, atau terabai yang perlu digilap semula potensi mereka.
“Bagaimana kita mahu ubah kerugian ini kepada peluang masa depan? Tukar Epstein kepada Einstein! Isu kehamilan luar nikah remaja bukan sekadar isu moral, tetapi ia adalah isu kesihatan awam, pendidikan, dan sokongan sosial.
“Remaja yang terlibat adalah anak-anak yang memerlukan bimbingan, perlindungan dan masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Zulkifli menjelaskan bahawa jumlah tersebut yang mewakili hampir satu peratus daripada keseluruhan remaja wanita menuntut masyarakat dan kerajaan untuk beralih daripada pendekatan menghukum semata-mata, kepada intervensi yang komprehensif.
Beliau menyatakan, pendekatan terbaik bukanlah meletakkan stigma atau kecaman masyarakat, sebaliknya menerusi pendidikan, komunikasi terbuka dalam keluarga dan sistem sokongan yang utuh.
“Dalam Islam, pencegahan sentiasa diutamakan berbanding hukuman. Kita perlu memperkukuh pendidikan akhlak, kefahaman tentang batas pergaulan, serta tanggungjawab terhadap tubuh badan sebagai amanah daripada Allah.
“Pada masa yang sama, remaja yang terlanjur tidak boleh disisihkan, tetapi dibimbing dengan hikmah dan kasih sayang,” jelasnya turut menggariskan keperluan pelaksanaan intervensi bagi merealisasikan transformasi masa depan golongan tersebut.
Menurut beliau, ia merangkumi pendidikan seksualiti, perkhidmatan kesihatan, program sokongan, dan strategi pencegahan gangguan seksual dalam kalangan remaja, serta kawalan berfokus terhadap akses maklumat di atas talian.
Mengulas lanjut, Zulkifli menegaskan, beban memulihkan masa depan anak bangsa ini memerlukan kerjasama strategik yang tuntas, dan tidak wajar diletakkan di atas bahu satu pihak sahaja.
“Pendekatan ini bukan sekadar menyelesaikan kes, tetapi mencegah, melindungi dan memulihkan selaras dengan prinsip kesihatan awam dan Maqasid Syariah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2026











