
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar bertitah mengingatkan semua pihak agar mematuhi undang-undang tanah terutama dalam isu pembinaan rumah ibadat, termasuk kuil.
Titah baginda, isu tersebut wajib ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama rata seperti pembinaan masjid, gereja, dan tokong.
Baginda turut bertitah mengingatkan semua pihak bahawa sebarang isu agama tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menjejaskan keharmonian negara.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.
“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara,” titah baginda.
Sebelum itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menegaskan bahawa pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan atau persendirian adalah satu bentuk pencerobohan yang mencetuskan risiko keselamatan.
Baginda mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memproses permohonan secara telus tanpa mengetepikan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Malah, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga pada 9 Februari lalu secara jelas mengarahkan PBT bertindak membersihkan kawasan yang bukan hak milik kuil.
Pemimpin tersebut menegaskan prinsip bahawa tanah yang dirampas atau diambil tanpa kebenaran tidak boleh disahkan semata-mata atas nama ibadat.
“Kalau di atas tanah orang, mana boleh kita buat ibadat dengan merampas tanah orang lain. Tanah yang tidak sah, dipaksa, dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tidak boleh dijadikan sah.
“Takkan kalau ada 1,000 kuil yang tidak ikut kebenaran dan kelulusan tanah, semua mahu dipertahankan? Tak boleh,” tegas Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Namun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming pada 8 Februari lalu menyatakan kesediaan kementeriannya melakukan proses pemutihan ke atas rumah ibadat haram.
Beliau menjustifikasi tindakan akan diambil pihaknya bersandar Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau Kanun Tanah Negara 1965 dengan menyatakan sebahagian struktur tersebut telah wujud sebelum itu.
“Sebahagian rumah ibadat ini telah wujud ratusan tahun lepas. Oleh itu, ia sudah lama berada di situ. Kita perlu mencari penyelesaian melalui proses pemutihan.
“Yang penting, struktur itu tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menceroboh rizab sungai dan tidak mengganggu trafik atau jalan raya,” katanya.
Kini dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor, serta penegasan Perdana Menteri timbul persoalan sama ada Nga Kor Ming akan meneruskan ‘pemutihan’ dimaksudkannya menerusi KPKT.
Kononnya, ‘pemutihan’ tersebut dinyatakan ‘untuk membantu’ PBT yang berada di bawah kerajaan negeri, namun tindakan itu sebenarnya turut dilihat sebagai satu bentuk ‘campur tangan’ terhadap kuasa negeri – HARAKAHDAILY 13/2/2026











