
KUALA LUMPUR: Pengamal media bebas, Putra Ibnu Janie menegaskan Parti Komunis Malaya (PKM) bukan pejuang kemerdekaan, sebaliknya pasukan penjajah yang berusaha menawan dan menjajah negara ini.
Beliau berkata, kenyataan itu sebagai membetulkan salah faham rakyat terhadap perjuangan PKM yang masih wujud dalam kalangan masyarakat.
Katanya, isu berkenaan timbul susulan tindakan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, yang membangkitkan dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat supaya beberapa tokoh PKM diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara.
Antaranya jelas beliau, Shamshiah Fakeh, Che Dat Anjang Abdullah (Abdullah CD) dan Rashid Maidin,.
Menurutnya, sebelum itu Ahli Parlimen berkenaan turut menyebut beberapa tokoh berhaluan kiri seperti Dato’ Seri Dr Burhanuddin Muhammad Nur al-Hilmi dan Abdullah Sani Raja Kechil (Ahmad Boestamam) yang sememangnya telah lama diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.
Putra berkata, terdapat tanggapan bahawa pengganas komunis termasuk dalam kumpulan yang memperjuangkan kemerdekaan negara, namun tidak diiktiraf kerana ideologi komunis yang bertentangan dengan Rukun Negara.
“Hakikatnya ini adalah persepsi dan tanggapan yang salah yang terpahat dalam kepala rakyat Malaysia selama ini.
“Fakta yang paling tepat sebenarnya ialah PKM bukan pejuang kemerdekaan, PKM sebenarnya adalah pasukan penjajah yang sebelum ini berusaha untuk menawan dan menjajah negara kita,” ujarnya.
Beliau berkata, pengganas komunis adalah penjajah yang sebaris dengan Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun yang pernah menjajah negara ini.
Menurut beliau, perbezaannya hanya pengganas komunis tidak berjaya menjajah Malaysia seperti kuasa penjajah lain.
“Sekiranya dahulu mereka berjaya mentadbir Malaysia, maka negara kita akan menjadi tanah jajahan China dengan seorang presiden dilantik sebagai boneka China yang menjadi induk PKM untuk mentadbir negara ini,” tegasnya.
Mengulas persoalan mengapa terdapat orang Melayu menyertai PKM, beliau berkata, ia bukan perkara luar biasa kerana penduduk tempatan juga boleh menjadi tali barut penjajah sebagaimana berlaku pada zaman penjajahan lain.
Selain itu, katanya, ada yang terpengaruh dengan dakwaan kononnya PKM mahu membebaskan negara daripada penjajah ketika itu, lebih-lebih lagi PKM menjadi satu-satunya gerakan yang mengangkat senjata.
Beliau berkata, selagi rakyat berpegang kepada anggapan bahawa PKM adalah organisasi yang berjuang untuk kemerdekaan, selagi itu akan wujud perpecahan antara pihak yang mahu mengiktiraf dan yang menentang pengiktirafan berkenaan.
“Hanya dengan mengubah persepsi rakyat Malaysia bahawa PKM yang dibantu China ketika itu adalah pasukan bersenjata yang mahu menjajah negara, maka tidak perlu lagi kita bertelagah sama ada mahu iktiraf atau tidak pengganas itu sebagai pejuang kemerdekaan.
“Kerana hanyalah bangsa yang bebal yang mengangkat penjajah sebagai hero pejuang kemerdekaan negara mereka sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2026











