Titah Sultan: K’jaan Selangor dituntut laksanakan segera

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Kawasan Shah Alam merafakkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih ke hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas titah Baginda yang jelas, tegas dan berprinsip berhubung isu penternakan babi serta pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di negeri ini.

- Advertisement -

Yang Dipertuanya, Ustaz Sukri Omar berkata, titah Tuanku Sultan agar penternakan babi tidak dijalankan di mana-mana kawasan di Selangor serta penegasan bahawa setiap rumah ibadat wajib dibina mengikut undang-undang adalah amat tepat.

Menurutnya, titah tersebut adalah berasaskan kepentingan awam, pemeliharaan alam sekitar, aspek keselamatan serta demi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.

“PAS Shah Alam berpandangan bahawa titah Tuanku ini juga selari dengan desakan rakyat sejak sekian lama terhadap Kerajaan Negeri Selangor.

“Namun malangnya, ia gagal dilaksanakan dengan berkesan, sama ada kerana kelemahan pentadbiran, ketidaktegasan politik atau sikap bertangguh tanpa kesudahan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan PAS Shah Alam menuntut Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri supaya melaksanakan kedua-dua titah Sultan Selangor ini dengan kadar segera.

Katanya, pelaksanaan tersebut mestilah dilakukan tanpa sebarang alasan, tanpa helah pentadbiran dan tanpa sebarang kelewatan, serta memastikan penguatkuasaan dibuat secara adil, telus dan berterusan.

“PAS Shah Alam ingin menegaskan bahawa titah Tuanku bukan untuk ditafsir secara longgar, apatah lagi untuk disenyapkan, tetapi wajib diterjemahkan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan sebenar.

“Kami memberi jaminan akan terus memantau tindakan Kerajaan Negeri Selangor, termasuk melalui saluran politik, masyarakat dan undang-undang, demi memastikan titah Sultan Selangor benar-benar dihormati dan dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat Selangor yang secara konsisten memperjuangkan isu ini secara aman dan berprinsip.

Jelas beliau, perkembangan mutakhir ini membuktikan bahawa apabila rakyat bersatu di bawah payung Istana, kerajaan yang dilihat lemah dan gagal boleh dipaksa untuk kembali berfungsi demi kepentingan rakyat dan negeri.

“PAS Shah Alam kekal beristiqamah mempertahankan kedaulatan undang-undang, keharmonian masyarakat serta menjunjung institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kestabilan negeri dan negara,” katanya.

Terdahulu, HarakahDaily melaporkan Sultan Selangor bertitah agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran dihentikan serta tiada aktiviti penternakan babi dibenarkan di negeri ini demi kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 11/2/2026

- Advertisement -