‘Hari paling malang’ MB Selangor, Amirudin Shari

Ditegur Sultan dua kali serentak

- Advertisement -

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari disifatkan mengalami ‘hari paling malang’ apabila Istana Selangor mengeluarkan dua kenyataan teguran dalam tempoh singkat, yang dilihat memberi impak negatif terhadap masa depan politik beliau.

Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Selangor, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, situasi itu ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila dua isu besar dibangkitkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selang satu jam.

- Advertisement -

Menurutnya, teguran pertama membabitkan isu penternakan babi di mana baginda dengan jelas bertitah bahawa tiada lagi aktiviti tersebut dibenarkan di mana-mana daerah dalam negeri Selangor.

“Maka Menteri Besar (MB) Selangor dan Exco dia yang sebelum ini sehingga memperbodohkan orang kerana hendak mempertahankan penternak babi dalam Negeri Selangor, hendak letak mana muka?

“Bila Pesuruhjaya PAS Selangor, YB (Yang Berhormat) Dr Abd Halim Tamuri beri cadangan penyelesaian berdasarkan fakta dan data, dia selamba sahaja perbodohkan orang tua yang seusia bapa dia. Bak kata Colin Firth dalam filem Kingsman: The Secret Service, ‘Manners maketh man’,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kini ramai rakyat mula menyindir pentadbiran kerajaan negeri susulan titah tegas Tuanku tersebut.

Mengulas lanjut, Nurul Islam berkata, teguran kedua Istana membabitkan isu rumah ibadat bukan Islam tanpa kelulusan adalah bukti kegagalan jelas pentadbiran kerajaan negeri.

Tegasnya, kegagalan itu membawa kepada kewujudan 687 kuil tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan dan persendirian sehingga memaksa Sultan Selangor mengingatkan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai aspek pemantauan.

“Malu lah kalau setiap kerja kau, orang nak kena ingatkan. Lagi teruk Sultan yang merupakan Ketua Negeri yang kena ingatkan. Kau buat apa hari-hari masuk Pejabat Menteri Besar? Dok sibuk buat TikTok velocity lagi ke?

“Kalau isu ini sampai wujud ketegangan antara kaum, ianya adalah disebabkan kelemahan kerajaan negeri untuk uruskan isu ini. Lembab sangat sampai dah membarah, sampai dah tegang baru nak terkial-kial,” bidasnya.

Nurul Islam turut menyelar sikap Menteri Besar yang dilihat masih mahu berpolitik dan menyalahkan PAS dan bukannya memohon maaf atau mengakui kelemahan pentadbiran selepas ditegur Istana.

Katanya, kegagalan menterjemahkan titah Istana kepada tindakan pentadbiran dalam isu sampah, tanah, kandang babi dan kini kuil haram adalah satu kegagalan yang serius.

“MB Selangor, anda gagal! Kegagalan ini akan membawa kepada hakisan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri, sekali gus akan beri implikasi politik yang besar kepada pentadbiran Pakatan Harapan Selangor.

“Orang putih kata ‘final nail in the political coffin’ untuk Amirudin. Tak payah desak dia letak jawatan. Dia sedang gali kubur politik dia sendiri. Masa akan menentukan hukuman rakyat terhadap dia,” ujarnya lagi.

Beliau mendesak agar Menteri Besar segera menyahut arahan Perdana Menteri dan titah Sultan Selangor menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku tanpa berlengah lagi. – HARAKAHDAILY 11/2/2026

- Advertisement -