
WASHINGTON: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dijangka menggunakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di sini pada hari ini, 11 Februari untuk mendesak sebarang perjanjian AS-Iran untuk memasukkan batasan ke atas peluru berpandu Tehran.
Ia susulan pengumuman Trump pada pada lewat 10 Februari melalui Channel 12 dan Axios bahawa sedang mempertimbangkan untuk menghantar kapal pengangkut pesawat kedua ke Timur Tengah, walaupun Washington dan Tehran bersedia untuk menyambung semula rundingan yang bertujuan untuk mengelakkan konflik baharu.
“(Kapal) USS George Washington di Asia dan USS George H.W. Bush di pantai timur AS adalah calon yang paling mungkin, pegawai memberitahu Reuters, tetapi masing-masing sekurang-kurangnya seminggu dari Timur Tengah.
“Pentagon juga boleh mengerahkan kapal pengangkut Ford dari Caribbean,” katanya,
Rundingan itu, lapor Reuters pula, dibuat selepas Trump meletakkan sebuah kapal pengangkut pesawat di rantau ini, menimbulkan kebimbangan tentang tindakan ketenteraan baharu.
Oman menjadi pihak perantara dalam memudakan rundingan antara Iran dan AS minggu lalu, yang menurut jurucakap kementerian luar Iran telah membolehkan Tehran menilai keseriusan Washington dan menunjukkan konsensus yang mencukupi untuk diplomasi diteruskan.
Jurucakap kementerian luar Iran, Esmaeil Baghaei dalam kenyataannya pula berkata, selepas rundingan dengan AS sebelum ini, pihaknya merasakan terdapat persefahaman dan konsensus untuk meneruskan proses diplomatik.
“Amerika Syarikat perlu bertindak secara bebas daripada tekanan asing, terutamanya daripada Israel yang mengabaikan kepentingan rantau ini dan juga pihak Amerika sendiri,” tegasnya.
Terdahulu Trump, yang menyertai kempen pengeboman Israel pada tahun 2025 dan menyerang tapak nuklear Iran, telah mengancam pada Januari tahun ini untuk campur tangan secara ketenteraan semasa tindakan keras kerajaan yang berdarah terhadap protes di seluruh negara di Iran, tetapi akhirnya menangguhkannya.
Sementara dalam satu kenyataan lain sebelum ini,Trump berkata AS perlu melakukan ‘sesuatu yang sangat sukar’ jika perjanjian tidak dicapai dengan Iran.
“Sama ada kita mencapai persetujuan atau kita perlu melakukan sesuatu yang sangat sukar,” katanya.
Tarikh dan tempat pusingan rundingan AS-Iran seterusnya masih belum diumumkan. – HARAKAHDAILY 11/2/2026











