Pembangunan Hutan Ayer Hitam, Kinrara mesti dihenti

Wartakan kembali kawasan tersebut sebagai hutan simpan negeri Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan negeri Selangor supaya segera menghentikan sebarang projek pembangunan mega di kawasan antara Hutan Simpan Ayer Hitam, Bandar Kinrara 5 dan Taman Wawasan seluas 169 ekar.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, desakan itu dibuat seiring dengan tuntutan penduduk setempat yang mahu kerajaan negeri menghentikan proses penilaian impak sosial yang sedang dijalankan.

- Advertisement -

“Kerajaan mesti memainkan peranan dengan mewartakan kembali kawasan tersebut sebagai hutan simpan negeri Selangor secara rasmi.

“Ini kerana kawasan tersebut adalah khazanah yang amat berharga dan bermakna buat negeri Selangor dan mesti dipelihara.

“Tambahan pula rakyat di sana sudah terlalu tepu dengan pembangunan yang pesat, penduduk yang padat dan trafik yang sangat menyesakkan,” katanya dalam sidang media semalam.

Terdahulu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kawasan berkenaan pada asalnya sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Hitam yang diwartakan pada tahun 1906 sebelum dinyahwarta pada tahun 1926 dan dijadikan sebagai tanah kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada November 2025, satu pasukan perunding impak sosial telah memaklumkan kepada penduduk sekitar Puchong dan Kinrara.

Makluman itu jelasnya mengenai cadangan projek pembangunan mega di kawasan antara Hutan Simpan Ayer Hitam, Bandar Kinrara 5 dan Taman Wawasan seluas 169 ekar.

“Projek berkenaan dijangka berlangsung selama 15 tahun melibatkan pembangunan yang merangkumi pembinaan kondominium serta lot komersial,”katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -