
KOTA BHARU: Sambutan Kebudayaan Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di sebuah pasar raya di sini menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta memupuk kefahaman antara masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhammad, berkata, program tersebut bukan sahaja meraikan perayaan, malah berperanan sebagai ruang untuk rakyat saling mengenali budaya, menghormati kepelbagaian serta mengukuhkan keharmonian sosial.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu selari dengan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh semangat perpaduan dan kesejahteraan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Majlis itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik antaranya persembahan tarian singa, paluan gendang Cina, tarian tradisional kanak-kanak serta sesi Yee Sang yang melambangkan semangat kebersamaan, kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosialnya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Dewan Negeri Bunut Payong, Shaari Mat Yaman serta Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas (Hubungan Luar dan Antara Kaum) Pejabat Menteri Besar, Lim Guan Seng.
Sehubungan itu, Zamakhshari merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh nilai murni.
“Semoga program seumpama ini terus menjadi jambatan perpaduan dan mengukuhkan hubungan antara rakyat pelbagai latar belakang di negeri kita.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan program ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/2/2026











