Memanda ‘Bijak’ terkeliru industri mughallazah di Darul Ehsan

Normalisasi panjang yang menguji kepimpinan Selangor

- Advertisement -

SELANGOR Darul Ehsan bukan sekadar sebuah negeri maju. Ia adalah simbol kepimpinan, rujukan dasar, dan penentu arah kepada negeri-negeri lain. Justeru, apabila isu industri mughallazah terus diperdebatkan, ia bukan isu pinggiran, tetapi ujian besar terhadap kebijaksanaan kepimpinan negeri, ujian yang menuntut kejernihan minda, keteguhan prinsip dan keberanian menetapkan sempadan.
Di sinilah minda Memanda Bijak (MB) sedang diuji. Bukan kerana kekurangan data atau teknologi, tetapi kerana panjangnya proses normalisasi yang perlahan-lahan mengaburkan garis merah.

Industri mughallazah di Selangor: Dari keperluan ke ekosistem

Pada asalnya, kewujudan industri mughallazah di Selangor sering dibingkai sebagai memenuhi keperluan makanan (sumber protein) masyarakat bukan Islam. Hujah ini mempunyai asas dalam prinsip pentadbiran masyarakat majmuk. Namun realiti semasa menunjukkan industri ini telah berkembang jauh melangkaui keperluan asas.
Industri mughallazah kini menjadi penternakan berskala besar, aktiviti ekonomi terancang, rangkaian pemprosesan dan logistik, serta sumber hasil negeri yang signifikan. Apabila sesuatu aktiviti diberi tempat dalam pelan pembangunan negeri dan dipertahankan atas nama hasil, ia tidak lagi bersifat toleransi, ia telah menjadi pilihan strategi ekonomi. Di sinilah perlunya nafas berhenti (saktah) yang sepatutnya terus noktah dan berfikir sejenak..

- Advertisement -

Garis merah mughallazah: Isu fiqh yang tidak pernah neutral

Dalam fiqh Islam, mughallazah merujuk kepada kategori najis berat yang implikasinya melangkaui soal makanan. Ia menyentuh kesucian ibadah, gaya hidup dan batas psikologi umat Islam. Justeru, pendekatan Islam terhadap isu ini bukan ekstrem, tetapi berhati-hati dan berlapik dengan garis merah yang jelas.

Islam tidak menafikan kewujudan masyarakat majmuk dan keperluan minoriti bukan Muslim. Namun keizinan syarak tidak pernah bersifat terbuka tanpa had. Keperluan dibenarkan, tetapi pengembangan dan penginstitusian sebagai industri besar adalah perkara berbeza.
Di sinilah pentingnya Selangor sesuai dengan namanya negeri Darul Ehsan menilai bukan sekadar ‘boleh’, tetapi ‘wajar’ membangunkannya.

Islam tidak ekstrem, tetapi Islam jelas mengenai batas. Mughallazah bukan isu selera, tetapi isu kesucian, ibadah dan maruah nilai. Garis merah dalam isu ini bukan terletak pada kewujudan semata-mata, tetapi pada pengembangan, normalisasi dan penginstitusian.

Garis merah itu mula disentuh apabila industri diperluas atas nama keuntungan, sensitiviti majoriti dianggap isu emosi, dan kebimbangan masyarakat ditenangkan dengan istilah teknikal.
Apabila garis merah digantikan dengan justifikasi ekonomi, maka yang terancam bukan sekadar alam sekitar, tetapi ekologi nilai masyarakat.

Normalisasi industri mughallazah di Selangor

Normalisasi tidak berlaku dalam satu malam. Ia berlaku secara berlapik dan berperingkat.

Pertama, normalisasi hasil negeri. Industri ini dipertahankan sebagai penyumbang ekonomi, seolah-olah Selangor ketandusan pilihan lain. Soal nilai ditolak ke tepi apabila angka hasil dijadikan hujah utama.

Kedua, normalisasi pematuhan undang-undang. Apabila lesen dipatuhi dan kelulusan diperoleh, ia dianggap memadai. Namun undang-undang bersifat minimum, bukan penentu kewajaran moral.

Ketiga, normalisasi kawalan alam sekitar. Setiap kebimbangan pencemaran dibalas dengan laporan teknikal, pelan mitigasi dan jaminan pemantauan. Tetapi sejarah industri mengajar satu perkara, kegagalan kecil sudah cukup memberi kesan besar.

Keempat, normalisasi keperluan makanan. Keperluan sumber protein dijadikan lesen kekal untuk pengembangan industri, walaupun alternatif seperti import terkawal tersedia dan lebih selamat.

Kelima, normalisasi rawatan sisa. Rawatan sisa dan kotoran dipamerkan sebagai bukti tanggungjawab, namun risiko bau, pelepasan, air larian dan kecemasan luar jangka sentiasa wujud. Kalau pun nampak bersih, ia belum tentu suci. Begitu juga, kalaupun ianya banyak belum tentu mutlak.

Keseluruhan proses ini membentuk satu kesimpulan berbahaya, ‘Ia sudah biasa, maka ia wajar.’

Teknologi moden: Normalisasi yang tersembunyi

Inilah senjata hujah paling licik dan ampuh, teknologi moden. Segala kebimbangan dijawab dengan sistem, automasi, penderiaan pintar, pemantauan dan piawaian.

Namun teknologi mempunyai kelemahan yang sering disenyapkan, ia bergantung kepada manusia, terikat dengan kos, terdedah kepada kecuaian dan kompromi.

Lebih membimbangkan, teknologi sering dijadikan tirai moral seolah-olah ia mampu menyucikan isu yang asalnya bersifat nilai pada ain dan zat.

Hakikatnya, teknologi boleh mengurangkan impak, tetapi tidak menghilangkan kemudaratan dan tidak mengubah hakikat mughallazah itu sendiri.

Wajarkah Darul Ehsan membangunkan industri ini?

Soalan ini bukan soal undang-undang, tetapi soal hikmah. Negeri yang benar-benar bijaksana tidak hanya bertanya ‘boleh atau tidak’, tetapi ‘perlu atau tidak’. Dalam konteks Selangor, ekonomi tidak bergantung kepadanya, alternatif lebih bersih tersedia, sensitiviti masyarakat tinggi, dan implikasi nilai besar.

Maka kewajaran industri ini sukar dipertahankan setelah sumber ekonomi dan sumber makanan lain tersedia dengan melampaui permintaan. Selangor Darul Ehsan telah membuktikan keupayaannya tanpa bergantung kepada industri sensitif. Selangor unggul dalam, industri halal global, teknologi dan inovasi, pendidikan dan perkhidmatan, pelaburan bernilai tinggi.
Maka mempertahankan industri mughallazah atas nama kemajuan bukan hujah kekuatan, tetapi tanda kekeliruan keutamaan.

Keberkatan dari tuhan: Selari dengan nama Darul Ehsan

Nama Darul Ehsan membawa tuntutan besar, iaitu ihsan kepada manusia, alam dan nilai tersembunyinya. Kesucian nama Darul Ehsan ini perlu dipertahankan sejajar dengan kedaulatan dan kepimpinannya.

Keberkatan tidak lahir daripada angka semata-mata, tetapi daripada keputusan yang seimbang antara manfaat dan mudarat. Negeri yang mencari keberkatan berani mengelakkan perkara yang shubhah, mengehadkan perkara sensitif, memilih jalan paling selamat, dan mendahulukan ketenangan masyarakat.
Keberkatan tidak menjerit melalui hasil, tetapi hadir melalui kebijaksanaan.

Kesimpulan: Tangani dengan pedoman, bukan perasaan

Industri mughallazah di Selangor bukan isu emosi, dan bukan juga soal sentimen sempit. Ia adalah isu pedoman, iaitu pedoman agama, tadbir urus, dan kepimpinan nilai.

Memanda Bijak (MB) tidak kekurangan data, laporan atau teknologi. Yang diperlukan ialah keberanian untuk berkata, “Cukup sekadar yang perlu, tidak perlu diperbesar.”

Kerana negeri yang benar-benar bijak bukan yang menormalkan segala perkara, tetapi yang tahu di mana titik noktah yang perlu berhenti.

Tindakan lahir dari kebijaksanaan;
kebodohan zahir pada perkataan. Laju lidah dari minda, hanya kebinasaan.

TS DR MOHD SUFFIAN HAJI YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
ADUN Bandar Baharu
Fellow Yayasan Strategik Lestari
Fellow Yayasan Kedah Sejahtera – HARAKAHDAILY 11/2/2026

- Advertisement -