Amirudin digesa lepaskan jawatan MB Selangor

Susulan pelbagai kegagalan dalam pengurusan dan tadbir urus negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari supaya melepaskan jawatan berikutan pelbagai kegagalan dalam pengurusan dan tadbir urus negeri.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, isu tebatan banjir, pengurusan sampah dan rumah mampu milik membuktikan kegagalan serta ketidakkompetenan kerajaan negeri Selangor ketika ini.

Menurutnya, kegagalan itu turut berpunca daripada tindakan terburu-buru kerajaan negeri sebelum ini, termasuk cadangan penternakan babi di Bukit Tagar yang membawa pelbagai implikasi, khususnya terhadap alam sekitar.

“Tindakan terburu-buru itu menggambarkan bagaimana kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari gagal melaksanakan tugas dengan baik.

“Apatah lagi keputusan-keputusan yang dibuat dilaksanakan dalam keadaan tidak mengkaji dengan serius secara keseluruhan kesan kepada alam sekitar dan sebagainya,” tegasnya dalam sidang media semalam.

Beliau menyatakan, keputusan yang dibuat seolah-olah mengkesampingkan peranan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain.

Terbaharu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya menegaskan Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor kerana berpotensi mencemarkan udara, sumber air serta menimbulkan bantahan penduduk tempatan.

Baginda menekankan penternakan berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di negeri ini kerana sumber tanah terhad dan nilai hartanah yang tinggi sepatutnya digunakan untuk tujuan lebih bermanfaat.

Baginda menasihatkan kerajaan negeri memberi lesen import daging babi bagi menampung keperluan orang bukan Islam dan menegaskan isu penternakan babi perlu dihentikan demi keamanan, keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Pada 11 Disember 2025, media turut melaporkan Sultan Selangor bertitah baginda menerima banyak aduan rakyat berhubung keadaan kebersihan di Selangor dan mahukan perancangan segera dilakukan untuk membersihkan negeri itu.

Baginda menegaskan masalah seperti sampah melimpah, longkang tersumbat dan penguatkuasaan lemah oleh pihak berkuasa tempatan tidak sepatutnya berlaku di sebuah negeri maju serta meletakkan tanggungjawab tersebut kepada PBT.

Sultan Sharafuddin turut menekankan keperluan akauntabiliti, penilaian semula kontrak pengurusan sisa, penglibatan profesional dalam PBT dan mengingatkan bahawa longkang tersumbat antara punca banjir berterusan.

Pada 18 Februari 2025, Baginda turut dilaporkan menitahkan kerajaan Pusat dan Selangor mempercepatkan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir bernilai RM1.774 bilion bagi mengelakkan kejadian banjir besar berulang.

Baginda menegaskan usaha mitigasi banjir tidak boleh dilengahkan dan perancangan rapi perlu dilaksanakan supaya bencana dahsyat tidak berulang. – HARAKAHDAILY 11/2/2026

- Advertisement -