
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,381 kes kes penipuan pembelian dalam talian direkodkan dalam tempoh sebulan membabitkan dengan nilai kerugian mencecah RM14.8 juta pada Januari tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkenan membuktikan penipuan pembelian dalam talian di negara ini semakin membimbangkan.
“Kerugian mencecah RM14.8 juta dengan 1,381 kes direkodkan itu menunjukkan lonjakan mendadak apabila ia meningkat 57 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meningatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sebelum membuat sebarang pembelian dalam talian.
“Jika tidak pasti boleh semak di portal Semak Mule PDRM melalui alamat https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan sebanyak 47,854 kes penipuan dalam talian direkodkan setakat September 2025 dengan jumlah kerugian mencecah RM1.919 bilion, meningkat lebih 12,000 kes berbanding tahun sebelumnya.
Tambah laporan tersebut, jumlah kes meningkat sebanyak 12,486 berbanding 35,368 pada 2024 yang melibatkan kerugian RM1.574 bilion.
“Rang undang-undang baharu berkaitan jenayah siber sedang digubal bagi memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan membimbangkan” ujar laporan itu. – HARAKAHDAILY 9/2/2026











