‘Robohkan tanpa pampasan tanah atau wang langsung’

Respon Firdaus pada PMX

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menegaskan bahawa pembinaan masjid atau surau secara haram di atas tanah milik pihak lain tetap perlu dibantah, meskipun ia melibatkan rumah ibadat umat Islam.

Beliau berkata, sebagai Muslim, pihaknya tetap menentang pembinaan yang tidak mengikut undang-undang.

“Kalau masjid dan surau dibina secara haram atas tanah orang lain, sebagai Muslim kami tetap bantah,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Firdaus turut menegaskan tindakan yang diambil terhadap pembinaan sedemikian bukan sahaja perlu melibatkan perobohan, malah tidak wajar disertakan dengan sebarang bentuk pampasan.

“Bukan sekadar roboh tetapi jangan sesekali diberikan sebarang pampasan tanah mahupun duit,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan terhadap sebarang keputusan yang dibuat berlandaskan undang-undang tanpa mengambil kira latar belakang parti atau gabungan politik.

“Kita sokong keputusan yang berlandaskan undang-undang tanpa mengira apa nama parti dan gabungan,” katanya reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak membenarkan pembinaan rumah ibadat yang melanggar peraturan dan memberi kuasa kepada Majlis Banda Raya (PBT) untuk merobohkannya.

“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan dan majlis bandar raya diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.

“Saya tahu (ini akan) mengundang kontroversi, sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga, kerja kami kerja negara, ini negara hukum,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, di sini hari ini.

Tindakan itu katanya berasaskan undang-undang serta perpaduan nasional, bukan menyasarkan mana-mana agama tertentu.

Tambahnya, Kerajaan tetap menghormati semua agama, namun tapak tidak sah tidak akan diiktiraf kecuali dipertimbangkan melalui saluran yang sah. – HARAKAHDAILY 9/2/2026

- Advertisement -

- Advertisement -