‘Dasar pendidikan digubal tanpa semakan realiti’

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat menggubal dasar pendidikan secara tergesa-gesa tanpa melakukan semakan realiti (reality check) yang sewajarnya, seolah-olah menjadikan murid sebagai bahan eksperimen.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan menyegerakan dasar kemasukan murid berusia enam tahun ke Darjah 1 membuktikan kerajaan mengamalkan pendekatan ‘umum dulu, kaji kemudian’.

- Advertisement -

Beliau berkata, kebimbangan ini timbul susulan pengakuan Menteri Pendidikan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam bahawa dasar tersebut sepatutnya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sekitar tahun 2031, namun kerajaan memilih untuk mempercepatkannya.

“Menteri juga menyatakan bahawa sekiranya timbul masalah pada tahun 2027, ia diharap dapat diselesaikan pada tahun yang sama.

“Kenyataan ini jelas membimbangkan. Bukan soal bagaimana kita menyelesaikan masalah, tetapi bagaimana kita merancang sebaiknya untuk pelaksanaan yang optimum.

“Ini mengesahkan bahawa Kerajaan menggubal dasar tanpa melakukan ‘reality check’ yang sepatutnya. Malah, ia juga perlambangan kegagalan menilai fasa pelaksanaan dasar yang sempurna,” katanya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut menyifatkan empat alasan yang dikemukakan kerajaan iaitu amalan pendidikan global, peningkatan kemasukan prasekolah dan bekalan pasaran tenaga kerja sebagai tidak memadai jika pelaksanaannya tempang.

Beliau menegaskan, pendekatan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah tidak berperikemanusiaan kerana melibatkan masa depan anak-anak dan sumber mahsul negara.

“Anak-anak bukan bahan eksperimen dasar, bukan juga tikus makmal untuk menguji keberkesanan keputusan dasar yang tergesa-gesa.

“Kegagalan hari ini akan ditanggung oleh generasi akan datang, bukan oleh menteri yang membuat keputusan,” ujarnya lagi.

Beliau turut membidas tindakan kerajaan yang sehingga kini hanya mempamerkan ‘kosmetik komunikasi’ melalui infografik bombastik, video AI dan kenyataan umum tanpa perincian teknikal yang dituntut rakyat.

Justeru, beliau mendesak agar perincian silibus, kaedah pengajaran dan mekanisme penilaian didedahkan dengan telus sekiranya kerajaan benar-benar yakin dengan dasar tersebut.

“Jika belum bersedia, berhenti memperjudikan masa depan anak-anak demi memenuhi keghairahan dasar yang tidak berjiwa,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2026

- Advertisement -