Dasar pendidikan: Mana data empirikal?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) didesak supaya tidak menyembunyikan data empirikal dan kajian berkaitan dasar kemasukan murid ke Darjah 1 pada usia enam tahun sekiranya benar wujud persediaan rapi seperti didakwa.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menerusi satu hantaran di laman Facebooknya mempersoalkan jaminan Menteri Pendidikan memandangkan perincian kajian tersebut tidak pernah dijelaskan secara tuntas kepada umum.

- Advertisement -

Kenyataan itu menegaskan bahawa walaupun Menteri sering menyatakan terdapat sokongan data, namun isu asas seperti kepadatan sekolah masih gagal diselesaikan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kebolehpercayaan kajian untuk melaksanakan dasar ini dalam tempoh singkat.

“Inilah perkara yang dipersoalkan, termasuk sejauh mana tahap kesahan dan kebolehpercayaan kajian berkenaan mencukupi untuk membolehkan dasar ini dilaksanakan dalam tempoh setahun akan datang.

“Apa yang YB (Yang Berhormat) Menteri nyatakan hanyalah KPM sudah buat persediaan yang rapi, tetapi dalam masa yang sama isu kepadatan sekolah masih belum diselesaikan secara berkesan.

“Paling penting, jangan jadi kerajaan ‘syok sendiri’, umum dulu baru nak kaji,” tegas kenyataan itu.

Sehubungan itu, DPPM mencadangkan agar kerajaan melaksanakan satu projek rintis (pilot project) terlebih dahulu sebelum pelaksanaan penuh bagi menilai impak sebenar di lapangan.

Menurutnya, projek rintis ini wajar melibatkan sekolah yang mempunyai bilangan murid paling ramai serta sekolah di kawasan luar bandar untuk mendapatkan gambaran seimbang.

“Sebagai contoh, sekiranya Sekolah A dipilih sebagai sampel dan sekolah tersebut telah mengalami tahap kepadatan yang tinggi sehingga tidak lagi mampu menampung kemasukan murid baharu, keadaan ini perlu dibandingkan pula dengan Sekolah B yang terletak berhampiran.

“Jika Sekolah B turut menghadapi masalah kepadatan yang sama, maka persoalan yang timbul ialah apakah jalan penyelesaian sebenar yang dirangka oleh kerajaan,” soalnya.

Tambah kenyataan itu, pemilihan sekolah luar bandar sebagai sampel projek rintis amat kritikal bagi memastikan kanak-kanak di kawasan tersebut tidak tercicir, terutamanya jika ujian diagnostik kemasukan dikekalkan.

DPPM turut membidas pendekatan penerangan KPM melalui laman sosial ‘Malaysia Mendidik’ yang disifatkannya sebagai kosmetik, tidak profesional dan gagal menjawab persoalan pokok mengenai kecukupan guru dan bilangan kelas.

Tambah kenyataan itu, berdasarkan piawaian pembangunan kurikulum yang pernah dikongsikan portal itu sendiri, KPM sepatutnya telah menyelesaikan langkah Analisis Keperluan, Perancangan, Pembangunan, dan Uji Rintis yang memakan masa bertahun-tahun sebelum pelaksanaan.

“Setakat ini, keempat-empat langkah ini tidak dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan. Justeru, kementerian wajar berhenti membawa hujah-hujah baharu yang menyimpang jauh daripada persoalan pokok.

“Langsaikan terlebih dahulu pembentangan data empirikal bagi keempat-empat langkah ini dalam tempoh masa terdekat,” desak DPPM.

Sehubungan itu, Pemuda PAS turut menuntut agar kerajaan mengeluarkan secara rasmi Kurikulum Pendidikan 2027 serta dokumen lengkap Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 untuk diteliti oleh pakar dan masyarakat.

“Sekiranya kementerian gagal membentangkan data dan dokumen asas ini, maka wajar ditanyakan, adakah dasar ini digerakkan atas kepentingan pendidikan, atau wujud kepentingan politik untuk mengaut keuntungan tertentu?

“Adakah kerajaan sanggup menjadikan rakyat sebagai tikus makmal semata-mata demi mengejar pengiktirafan global?” soal kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 9/2/2026

- Advertisement -