
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tidak sepatutnya mengharamkan, menghalang atau melarang sesuatu perhimpunan selagi ia dijalankan secara aman dan tanpa senjata menurut undang-undang, khususnya Perlembagaan Persekutuan
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki memandang serius kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur pada 7 Februari 2026 yang memaklumkan bahawa perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram adalah ‘tidak dibenarkan’.
Beliau berkata, hak untuk berhimpun secara aman dijamin secara nyata di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
“Hak ini adalah hak asasi yang hanya boleh dikenakan sekatan yang sah, munasabah dan selaras dengan Perlembagaan,” tegas Muhamad Hisham dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hariri Abd Hadi v Pendakwa Raya telah menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman bukan suatu keistimewaan yang tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa, sebaliknya merupakan hak Perlembagaan wajib dihormati dan dilindungi.
“Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa peruntukan undang-undang yang bersifat menghukum atau menjenayahkan kegagalan memberi notis perhimpunan adalah tidak berperlembagaan.
“Keputusan ini menegaskan bahawa keperluan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh ditafsir sebagai kuasa untuk melarang perhimpunan, apatah lagi menjadikannya tidak sah secara automatik,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa alasan kononnya terdapat bantahan daripada para peniaga di sekitar kawasan perhimpunan bukan alasan yang sah untuk melarang sesuatu perhimpunan aman.
Muhamad Hisham mengimbas pada 2016, terdapat kes difailkan oleh Persatuan Peniaga Bazaar Masjid India untuk menghalang perhimpunan yang hendak diadakan di kawasan berkenaan, namun ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Sehubungan itu katanya, sebarang kenyataan bahawa sesuatu perhimpunan aman adalah ‘tidak dibenarkan’ adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.
Beliau juga menegaskan bahawa peranan dan tanggungjawab polis bukan untuk menghalang perhimpunan aman, sebaliknya memudahcara pelaksanaan hak berhimpun secara aman, menjaga keselamatan awam serta peserta perhimpunan, dan memastikan ketenteraman awam tanpa menafikan hak perlembagaan rakyat.
“Pendekatan yang bersifat melarang, menakut-nakutkan atau mengugut penganjur dan peserta perhimpunan aman bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi berperlembagaan.
“Hak berhimpun secara aman bukan ancaman kepada undang-undang dan ketenteraman awam. Sebaliknya, hak tersebut adalah lambang kematangan demokrasi dan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara,” katanya.
PPMM tegasnya turut menggesa pihak polis supaya mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan serta mengambil pendekatan yang selari dengan prinsip hak asasi manusia dan tadbir urus demokratik.
Sementara itu, Peguam, Haniff Khatri Abdulla tampil tenang menjelaskan bahawa beliau dan beberapa yang lain telah selesai memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram Sabtu lepas.
Menurutnya, 18 daripada 20 individu telah dibebaskan atas jaminan manakala dua lagi direman di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
Beliau menafikan dakwaan serta laporan polis yang disifatkan sebagai salah tafsir terhadap perjuangan mereka di mana menurutnya bertujuan menegakkan kedaulatan undang-undang.
Hanif turut menyatakan akan mencabar tindakan penahanan itu sebagai penyalahgunaan kuasa dan mempertimbangkan tindakan sivil terhadap pihak berkuasa.
Selain itu, peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor menjelaskan bahawa Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram bertujuan menggesa kerajaan menangani isu rumah ibadah yang dibina tanpa kebenaran atau secara pencerobohan, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
Beliau mempersoalkan dakwaan hasutan dan perpecahan kaum, dengan menyatakan bahawa perhimpunan aman untuk mendesak tindakan kerajaan adalah hak Perlembagaan selagi tiada unsur keganasan atau provokasi.
Menurutnya, jika tiada bukti kukuh di mahkamah bahawa wujud unsur hasutan, maka tindakan penahanan boleh dipersoalkan dan dicabar melalui saluran undang-undang termasuk saman sivil. HARAKAHDAILY 9/2/2026











