
SINGAPURA: Seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) berusia 22 tahun yang bekerja di Pangkalan Udara Paya Lebar telah dikenal pasti sebagai suspek pelaku ancaman bom palsu di pangkalan udara tersebut.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) Singapura dalam kenyataan pada Isnin (9 Februari) berkata, lelaki itu telah ditahan rapi di Berek Tahanan Angkatan Tentera Singapura (SAF) pada 28 Januari lepas.
“Lelaki itu didakwa mencipta catatan dalam talian pada 23 Januari 2026 yang mendakwa bahawa alat letupan buatan sendiri telah dipasang di dua belas lokasi tertentu di Pangkalan Udara Paya Lebar, dan di dalam kenderaan pegawai kanan Tentera Udara Republik Singapura.
“Ancaman itu disahkan sebagai penipuan selepas pemeriksaan bom dan langkah berjaga-jaga lain diambil,” jelas kenyataan MINDEF itu.
Tambah kenyataan tersebut, bukti semasa menunjukkan bahawa NSF tersebut adalah pelaku tunggal, dan suspek berkenaan sedang disiasat.
“Bergantung pada hasil siasatan, lelaki itu boleh didakwa kerana menyampaikan maklumat palsu tentang sesuatu yang berbahaya, di mana dia akan dibicarakan melalui mahkamah tentera umum.
“Kesalahan ini membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda S$50,000 (RM154,449).
“SAF melayan semua ancaman keselamatan dengan serius. Pelaku ancaman keselamatan palsu akan ditangani di bawah undang-undang,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) telahh dimaklumkan pada 23 Januari 2026 mengenai catatan dalam talian yang mendakwa ancaman bom di Pangkalan Udara Paya Lebar.
Sehubungan itu, langkah berjaga-jaga telah diambil dan pemeriksaan bom telah dijalankan di pangkalan udara, sebelum tiada ancaman dikenal pasti, dan siasatan sedang dijalankan yang mana pelaku ancaman bom palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 268A kanun Keseksaan 1871.
Sebelum itu, laporan berkata, menjelang 2030 Pangkalan Udara Paya Lebar akan dibangunkan semula untuk dijadikan sebuah bandar baharu yang mampu menempatkan kira-kira 150,000 penduduk.
Sehubungan itu, aset milik SAF termasuk beberapa skuadron milik RSAF seperti pesawat 130 Hercules dan F-15SG ‘Strike Eagle’ yang kini ditempatkan di Pangkalan Udara Paya Lebar akan dipindahkan ke Pangkalan Udara Changi (timur) dan Pangkalan Udara Tengah.
Pangkalan Udara Paya Lebar yang mula dibuka ketika zaman pemerintahan British pada 1955 untuk dijadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura sebelum ia diserahkan kepada SAF pada 1981 dan dinamakan sebagai Pangkalan Udara Paya Lebar apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Changi mula beroperasi. HARAKAHDAILY 9/2/2026











