
SHAH ALAM: Pendidikan negara tidak boleh dilihat sebagai projek jangka pendek atau sekadar agenda pentadbiran semasa, sebaliknya ia adalah dasar pembentukan manusia yang kesannya hanya dapat dinilai dalam tempoh puluhan tahun.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, setiap perubahan besar dalam sistem pendidikan negara mestilah dinilai secara rasional, empirikal dan berprinsip, bukannya berpaksikan andaian semata-mata.
Menurut beliau, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang membuka ruang reformasi pendidikan perlu diteliti secara kritikal, khususnya berkenaan anjakan pilihan kemasukan Darjah Satu pada usia enam tahun.
“Persoalan penting yang wajar dijawab secara terbuka termasuklah sama ada sistem sedia ada gagal menyediakan murid berusia tujuh tahun dengan baik dan sama ada terdapat bukti empirikal yang kukuh bahawa kemasukan lebih awal meningkatkan kualiti pembelajaran jangka panjang.
“Dalam bidang pendidikan, andaian tidak boleh menggantikan bukti, lebih-lebih lagi apabila perubahan yang dicadangkan melibatkan kanak-kanak di peringkat perkembangan awal.
“Pendidikan bukan ruang eksperimen dasar. Ia memerlukan asas kajian yang kukuh, hujah yang konsisten serta kesediaan pembuat dasar untuk mempertanggungjawabkannya secara ilmiah dan moral,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu turut melahirkan kebimbangan mengenai kesan sistemik dasar baharu terhadap institusi keluarga dan sekolah.
Jelasnya, perubahan struktur persekolahan bakal membawa implikasi kewangan dan tekanan emosi kepada ibu bapa, terutamanya golongan berpendapatan sederhana yang bekerja.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai realiti ketidakseragaman infrastruktur dan sumber manusia antara sekolah bandar dan luar bandar.
“Pemberian autonomi kepada sekolah tanpa usaha serius untuk menutup jurang asas berisiko mengukuhkan ketidaksamaan, bukannya mengurangkannya. Autonomi hanya membawa makna apabila titik permulaan adalah adil,” tegasnya.
Mengulas mengenai peranan pendidik, ujar Dr Ab Halim, guru tidak seharusnya sekadar menjadi pelaksana dasar, tetapi perlu diangkat sebagai teras reformasi.
Beliau menyifatkan sistem yang terlalu berpusat telah mengehadkan kreativiti dan kebebasan profesional guru, sedangkan beban tugas mereka semakin meningkat.
“Reformasi sebenar menuntut perubahan budaya, bukan sekadar pertukaran dokumen dasar. Guru perlu diberi latihan, ruang untuk menyesuaikan pedagogi serta sokongan profesional yang mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran mereka.
“Pendidikan berkualiti tidak lahir daripada arahan pentadbiran semata-mata, tetapi daripada ekosistem profesional yang dihormati dan diperkasa,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau menyeru agar kepercayaan rakyat terhadap dasar pendidikan dibina melalui ketelusan dan libat urus yang bermakna melibatkan guru, ibu bapa dan pakar akademik.
Tambahnya, kesilapan dalam mencatur dasar hari ini hanya akan dirasai impaknya dua dekad akan datang, justeru reformasi mesti mengutamakan kestabilan dan keadilan demi masa depan negara. – HARAKAHDAILY 9/2/2026











