
KUALA LUMPUR: Jurang ketidakseimbangan pendapatan dan kos sara hidup antara wilayah di negara ini masih berlaku terutamanya bandar yang pesat membangun dengan kawasan luar bandar terutama Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 mendedahkan taraf kos hidup rakyat secara keseluruhan, namun masih wujud perbezaan yang ketara antara wilayah.
Beliau mempersoalkan adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menilai statistik itu bagi membuat penilaian kos sara hidup sebenar perlu dibuat berdasarkan keperluan peringkat negeri-negeri.
“Jadi bagaimana KPDN melihat perkara ini untuk menjustifikasi bahawa penilaian kos sara hidup ini mesti berdasarkan wilayah untuk pastikan kita dapat menilai kembali peraturan atau menetapkan kos harga barangan.
“Contohnya kos barangan untuk pembinaan, kadang-kadang di luar bandar itu lebih mahal berbanding di kawasan bandar dan ketika itulah dilihat adanya petani kita terpaksa buat kerja luar selepas bertani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah pada Sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Ahmad Tarmizi berkata lagi, situasi itu turut menjadi pemacu utama kepada migrasi penduduk khususnya belia di negara ini mencari sumber pendapatan yang lebih baik sekali gus mendedahkan jurang ekonomi masih berlaku.
Menurutnya, berdasarkan Laporan Survei Migrasi Malaysia 2024, jumlahnya meningkat hampir dua kali ganda kepada 301,100 pada 2024 berbanding 158,800 pada 2022, menjadikan Selangor dan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama.
“Isu besar juga ialah pemindahan belia kampung ke bandar sangat ketara, ini kerana ketidakseimbangan pendapatan itu sendiri dan juga kenaikan kos sara hidup itu nampak dia sama antara bandar dan luar bandar,” kata beliau.
Datuk Armizan mengakui realiti dihadapi berpunca daripada perancangan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang dilaksanakan secara pukal dan bukan bersasar menjadi penyumbang utama.
“Itu sebabnya kerajaan dalam tahun lalu kita memperkenalkan indikator kos sara hidup sebagai permulaan bukan sekadar mengikut wilayah dalam indikator ini membuat penilaian bersandarkan daerah boleh diakses oleh umum.
“Kita berharap dengan adanya permulaan indikator ini inisiatif yang dilaksanakan kerajaan merentasi pelbagai kementerian dan agensi termasuk kolaborasi pihak luar kerajaan yang membantu melalui program kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2026











