Tangani isu ceroboh tanpa lensa kaum atau agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Hubungan NGO dan Seranta PAS Pusat, Datuk Awang Hashim, menegaskan isu pencerobohan dan pembinaan tanpa kelulusan bukan terhad kepada mana-mana agama atau kepercayaan tertentu.
 
Menurutnya, ia melibatkan semua bentuk binaan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang, merangkumi pelbagai latar agama termasuk Islam, Hindu, Kristian, Buddha, Tao, Lao dan lain-lain.
 
“Isu ini wajar ditangani secara berprinsip dan berfakta, tanpa dilihat melalui lensa keagamaan atau perkauman,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pendang dalam satu kenyataan.
 
Beliau berkata demikian bagi menyatakan pendirian berhubung isu himpunan dan tindakan penguatkuasaan yang berlaku baru-baru ini, dengan harapan perkara itu dapat difahami secara menyeluruh serta ditangani dalam suasana harmoni dan berlandaskan undang-undang.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya mengambil maklum bahawa himpunan yang diadakan berlangsung secara aman dan berada dalam lingkungan peruntukan undang-undang sedia ada, selaras dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
 
Menurutnya, pendekatan aman dan berhemah yang ditunjukkan oleh semua pihak wajar dihargai dan diperkukuh.
 
Dalam pada itu, beliau berpandangan sebarang tindakan penguatkuasaan perlu sentiasa selaras dengan keputusan mahkamah yang telah diputuskan.
 
“Penghormatan terhadap proses kehakiman merupakan asas penting dalam mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan tadbir urus negara,” hujahnya.
 
Beliau turut menegaskan kepentingan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencerobohan tanah dilaksanakan secara adil, konsisten dan tanpa sebarang bentuk pilih kasih.
 
Katanya, pendekatan yang saksama amat penting bags memastikan keadilan dapat dirasai oleh semua pihak yang terbabit.
 
Sehubungan itu, Lajnah Hubungan NGO dan Seranta jelasnya, menyeru semua pihak agar terus mengamalkan sikap saling menghormati, berpegang kepada undang-undang serta mengutamakan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

- Advertisement -

“yang adil dan berimbang hanya dapat dicapai melalui dialog, kefahaman bersama dan penghormatan terhadap kerangka perundangan negara,” katanya.- HARAKAHDAILY 9/2/2026

- Advertisement -