
WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengancam untuk menghentikan pembukaan jambatan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, dalam satu ugutan baharu terhadap negara yang beliau cadangkan untuk menjadi negeri AS ke-51.
Trump dalam kenyataannya pada Isnin (waktu tempatan) berkata, AS harus memiliki ‘sekurang-kurangnya separuh’ daripada Jambatan Antarabangsa Gordie Howe yang masih dalam pembinaan yang menghubungkan wilayah Ontario, Kanada dengan negeri Michigan, AS.
Kerja-kerja pembinaan jambatan bernilai AS$4.7 bilion yang dinamakan sempena mendiang legenda Liga Hoki Kebangsaan kelahiran Kanada, Gordie Howe bermula pada tahun 2018 dan ia dijadualkan dibuka lewat tahun ini.
“Saya tidak akan membenarkan jambatan ini dibuka sehingga Amerika Syarikat dibayar sepenuhnya untuk semua yang telah kami berikan kepada mereka, dan juga, yang penting, Kanada melayan Amerika Syarikat dengan keadilan dan hormat yang sewajarnya,”
“Kami akan memulakan rundingan, SEGERA,” tegas Trump dalam siaran di Truth Social.
Trump dilaporkan tidak berpuas hari kerana Kanada memiliki kedua-dua belah jambatan berkenaan dan ‘hampir’ tidak menggunakan produk AS untuk membinanya.
“Dan sekarang, di atas segala-galanya, Perdana Menteri (Mark) Carney mahu membuat perjanjian dengan China yang akan ‘memakan’ Kanada hidup-hidup. Kita hanya akan mendapatkan sisa makanan! Saya rasa (itu) tidak (boleh dibiarkan),” tambah Trump.
Terdahulu, Washington telah mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas Kanada selepas Carney melawat Beijing bulan lalu dan memeterai perjanjian perdagangan awal dengan China.
Sementara itu, Trump juga mengulangi dakwaan aneh yang mempunyai maksud tersirat bahawa Beijing akan ‘menamatkan semua Hoki Ais yang dimainkan di Kanada’.
Sebelum ini Trump telah bertelagah dengan Kanada mengenai perdagangan sejak kembali memegang jawatan pada Januari 2025.
Beliau telah menyeru AS untuk mengilhak Kanada tetapi sebahagian besarnya telah menggugurkan tuntutan itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sementara itu, Carney memberi amaran di forum Davos pada bulan lalu bahawa sistem tadbir urus global yang diketuai AS sedang mengalami ‘kerosakan’, dalam rujukan yang terselubung kepada gangguan Trump, dan berhujah agar kuasa peringkat pertengahan berkumpul bersama. – HARAKAHDAILY 10/2/2026











