
ZINTAN, LIBYA: Saif al-Islam Gaddafi, anak lelaki bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi, telah terbunuh dalam satu serangan bersenjata di kediamannya di bandar Zintan, Libya, pada 3 Februari 2026.
Kejadian itu berlaku selepas empat lelaki bersenjata dipercayai menyusup masuk ke rumahnya, mematikan kamera keselamatan dan melepaskan tembakan yang mengorbankan beliau, kata beberapa sumber yang rapat dengan keluarga dan pasukan politiknya.
Identiti dan motif penyerang masih belum dikenalpasti.
Menurut kenyataan peguam dan penasihat politiknya, Saif al-Islam, 53, cuba mempertahankan dirinya ketika pencerobohan itu berlaku sekitar jam 2.30 pagi waktu tempatan, namun dirempuh dan ditembak oleh kumpulan bersenjata tersebut sebelum mereka melarikan diri.
Beliau dianggap tokoh berpengaruh politik dan simbolik, pernah dilihat sebagai pewaris politik bapanya dan berperanan dalam hubungan luar Libya pada awal 2000-an.
Selepas kejatuhan rejim Gaddafi pada 2011, Saif al-Islam dipenjarakan oleh kumoul,an militia di Zintan selama beberapa tahun sebelum dibebaskan pada 2017.
Pada 2021, beliau mengumumkan niat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden yang akhirnya dibatalkan.
Walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, kewujudan himpunan politik beliau terus menjadi faktor penting dalam percaturan politik Libya, yang kini masih menghadapi ketegangan antara pelbagai pihak dan militia bersenjata sejak perang saudara bermula lebih sedekad lalu.
Pihak berkuasa Libya kini telah membuka siasatan rasmi terhadap pembunuhan itu, namun tiada pengakuan rasmi atau dakwaan terhadap mana-mana pihak setakat ini. – HARAKAHDAILY 4/2/2026











