
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengesahkan berlakunya pelanggaran syarat lesen hiburan semasa penganjuran program Makar Fest XL yang berlangsung di tapak parkir Mydin Mall Tunjung, di sini, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata dalam satu kenyataan medianya, insiden itu melibatkan perlakuan penonton yang menari dan melompat-lompat semasa konsert penutup festival berkenaan pada malam 31 Januari lalu.
Menurutnya, program berbentuk ekspo jualan dan makanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Januari 2026 itu telah mendapat kelulusan hiburan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.
“Bagaimanapun, penganjur diwajibkan mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025 sepanjang penganjuran program,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau menjelaskan, hasil pemantauan mendapati semua artis jemputan termasuk Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang, Wargaswara serta artis dikir berjaya mematuhi enakmen dan garis panduan yang ditetapkan.
Namun katanya, pelanggaran dikesan semasa persembahan kumpulan Kugiran Masdo pada konsert penutup sekitar jam 10.30 malam apabila berlaku provokasi serta percampuran antara penonton lelaki dan wanita tanpa kawalan keselamatan mencukupi.
“Walaupun pihak penguat kuasa telah mengeluarkan beberapa penonton yang melanggar garis panduan, keadaan gagal dikawal sepenuhnya dan pelanggaran terus berulang.
“Penganjur didapati cuai, gagal atau enggan menghentikan persembahan bagi mengawal keadaan,” tegasnya.
Tambah beliau, selepas meneliti laporan bertulis Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan serta rakaman video yang tular, Pegawai Pelesen mendapati penganjur telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.
“Sehubungan itu, wang cagaran penganjur berjumlah RM8,000 telah dirampas dan penganjur juga boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000.
“Nama penganjur turut boleh disenaraihitamkan sekiranya gagal membayar kompaun yang dikenakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri memahami keperluan rakyat untuk berhibur serta menyokong penganjuran festival makanan yang menjana pendapatan peniaga kecil dan mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan Food, Family, Festival.
Namun beliau menyatakan, Kerajaan Negeri kekal konsisten memastikan adab, budaya dan akhlak masyarakat khususnya generasi muda terus dipelihara.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong penganjuran festival makanan pada masa hadapan dengan syarat pematuhan penuh kepada peraturan dan garis panduan hiburan yang diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2026











