
Perikatan Nasional (PN) gabungan parti politik PAS dan BERSATU di samping dua parti bukan Melayu yang diwujudkan untuk menghadapi parti pemerintah PH, BN, DAP dan parti di Borneo. PAS perlu memimpin PN, atas realiti rakyat resah dan tidak selesa di bawah kerajaan Madani. Rakyat tidak bodoh malah melihat dan menilai parti yang benar-benar bekerja.
Hakikatnya PAS sebuah parti induk politik Melayu yang tidak bergema musim pilihan raya sahaja sebaliknya massa memperlihat PAS di lapangan, di masjid, di kampung, di universiti, di pasar malam serta nama PAS lebih bugar daripada mana-mana parti Melayu lain kerana PAS bukan sekadar parti politik tetapi gerakan yang berakar referensi tauhid dan berakal nusa dan ummah bukan berpaksi kuasa untuk jawatan dan status.
PAS adalah parti yang paling banyak Ahli Parlimen dan ADUN serta memiliki 3 Menteri Besar. PAS bukan menuntut kuasa, PAS hanya menuntut hak untuk memimpin dengan mandat yang diberikan rakyat. Ini bukan retorik tetapi mandat rakyat memilih PAS sebagai penguasa kerana kepimpinan berpaksikan kepada mandat bukan kepimpinan elit yang mempersembah karakter bangsawan.
Sementara Tan Sri Muhyiddin Yasin, Presiden BERSATU dilihat tertekan kerana tindakannya tidak dihormati pimpinan sendiri dan rakan parti komponen apabila mengadakan mesyuarat pramajlis PN di rumahnya tanpa Timbalanya Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang tidak dijemput.
Dalam PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoal mesyuarat itu tanpa asas perlembagaan dan menyindir temu sua hanya minum kopi. Tempelak berasas surat balas di antara Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan Tan Sri Muhyiddin menunjukkan dakwaan konsensus pembentukan majlis presiden hakikatnya tidak dipersetujui PAS. PN di bahu BERSATU dilihat tiada rencana tetapi paparan nama untuk “kesatuan”, “watan” dan “rakan jalur tampuk”.
PAS dimomok sentimental dalam tadbir urus tetapi PAS membina gerak kerja efektif saban waktu bukan ketika musim pilihan raya malah PAS bergerak dengan disiplin jemaah. Keputusan melalui syura, bukan emosi dan segala duka lara disimpan mengikut waktu bukan dihebah pada khalayak seperti kes di Perlis.
Pilihan raya bukan pesta politik bagi PAS tetapi tanggungjawab menggarap sunnah bernegara acuan “Piagam Madinah”. Petugas parti bergerak tidak bermusim atau menanti perintah sebaliknya infaq sumber diri atas kepercayaan bukan imbuhan atau mahkota.
Prinsip PAS dalam politik referensi dasar parti tiada pemimpin lompat parti, skandal dan manipulasi, PAS membawa atribut integriti tinggi. Meskipun PAS tidak sempurna tetapi tiada pemimpinnya terpalit rasuah, salah guna kuasa atau skandal memalukan negara.
Apalagi karakter Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang kompeten syariat (politik), dakwah (brand trust kepercayaan tauhid) dan tarbiah (pendidikan) dalam membina kemanusiaan dan kemasyarakat ketika dunia dengan segala macam teknologi perang, hiburan, makanan, komunikasi dan perebutan kuasa. Dalam kasus PN tindakan Tuan Guru untuk memastikan organisasi bergerak pada port sasaran menghadapi Pilihanraya negeri Melaka, Johor dan Sarawak akan menjelang harinya kelak.
Namun Tan Sri Muhyiddin yang meletak jawatan dengan merekodkan tarikh berhenti sebagai Pengerusi PN menepati peruntukan Perlembagaan PN, agar MT PN bersidang untuk melantik seorang Pengerusi PN yang baharu. Kemudian agenda seumpama termasuk struktur operasional pascausai temu sua mendapat konsensus MT PN akan dibawa pada mesyuarat badan tertinggi bagi tujuan pinda perlembagaan tetapi tindakan terhalang kerana pengerusi PN tiada.
Ekoran itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selaku Timbalan Setiausaha Agung PN, mengeluarkan notis mesyuarat MT mengikut peruntukan Perlembagaan PN bagi menggarap pelantikan Pengerusi PN yang baharu. Kasus jadi isu kebangsaan apabila Muhyiddin yang telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN memanggil mesyuarat “pre-council” Pengerusi parti-parti komponen di rumah beliau.
PAS bukan gila kuasa nak mengambil alih Pengerusi PN, tetapi kerana ada permintaan dari dalaman BERSATU dan penyokong PN yang minta PAS untuk lead PN kerana melihat perpecahan kronik dalam BERSATU dilihat berpunca dari kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan suara hantu kelilingnya sama ada pejawat parti atau mereka luar parti dalam organisasi BERSATU.
Oleh itu, usai temu persegaran kepimpinan dalam acara “retreat” masing-masing iltizam kekal dalam PN dan konsep “gencatan senjata” diperhitung durasi refleksi parti atas sandaran PN mampu menggantikan kerajaan Madani kerana rakyat menuntut kemakmuran dan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 2/2/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











