DAP terpaksa bersetuju guna logo Bulan

Gara-gara surat ROS tak iktiraf CEC DAP tiga hari sebelum penamaan calon PRU13

- Advertisement -

Episod yang tidak pernah dipadam sejarah

Dalam sejarah politik Malaysia, terdapat peristiwa yang tidak direkodkan sebagai keputusan rasmi pilihan raya, namun kekal sebagai hakikat politik yang sarat pengajaran.

Salah satu daripadanya ialah kesediaan DAP untuk menggunakan logo Bulan PAS menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013.

Episod ini bukan sekadar kisah teknikal logo, tetapi mencerminkan realiti pengurusan kepimpinan, tekanan institusi, serta makna sebenar setia kawan politik dalam gabungan.

Latar krisis: Pertikaian CEC dan tindakan ROS

Krisis ini bermula susulan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Disember 2012 yang mencetuskan pertikaian dalaman. Isu pengiraan undi dan pembetulan keputusan memberi ruang kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk campur tangan.

Pada 17 April 2013, hanya tiga hari sebelum Hari Penamaan Calon pada 20 April 2013, ROS mengeluarkan surat tidak mengiktiraf CEC DAP yang baharu.

Implikasi keputusan ini amat besar kerana tanpa pengiktirafan kepimpinan, DAP secara teknikal tidak mempunyai autoriti sah untuk mengeluarkan surat kebenaran penggunaan logo Roket kepada calon-calon mereka.

Dalam realiti pilihan raya, ini bukan isu kecil. Ia menentukan sama ada calon boleh bertanding atas tiket parti atau terpaksa muncul sebagai calon bebas.

Logo sebagai nyawa politik

Dalam landskap politik Malaysia, logo parti bukan sekadar simbol. Ia adalah identiti, alat komunikasi dan petunjuk kesetiaan pengundi. Kehilangan logo bermaksud kehilangan kelebihan pengenalan, khususnya di kalangan pengundi yang lebih mengenali simbol berbanding nama calon.

DAP menyedari bahawa bertanding tanpa logo Roket akan memberi kesan besar terhadap peluang mereka. Justeru, satu pelan kecemasan perlu disediakan walaupun langkah itu dianggap luar biasa.

Kerjasama Pakatan: Sedia guna logo Bulan

Dalam suasana semakin meruncing, DAP mengambil keputusan untuk membuat persiapan akhir menggunakan logo parti rakan sekiranya krisis dengan ROS tidak diselesaikan.

Di Semenanjung Malaysia, logo yang dipersetujui ialah logo bulan PAS, manakala di Sabah dan Sarawak, logo PKR.

Keputusan ini penting dari sudut politik kerana ia menunjukkan bahawa DAP yang sering digambarkan berbeza secara ideologi dengan PAS, pernah bersetuju untuk bertanding di bawah lambang PAS demi memastikan kelangsungan pencalonan dalam PRU13.

Peranan PAS: Solidariti saat genting

Dalam kemuncak krisis ini, atas dasar kerjasama dan keprihatinan terhadap masa depan Pakatan Rakyat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS telah bersetuju dan memberi kebenaran menyerahkan penggunaan logo Bulan PAS kepada calon-calon DAP sebagai persiapan akhir.

Perkara ini kemudiannya disahkan secara terbuka oleh Setiausaha Agung PAS, Dato Haji Mustafa Ali, yang menyatakan, _“I have signed all the letters of authorisation of the DAP candidates (contesting in the peninsula).”_ (“Saya telah menandatangani semua surat kebenaran calon DAP yang bertanding di Semenanjung.”)

Kenyataan ini membuktikan bahawa persetujuan tersebut bukan sekadar teori atau spekulasi, tetapi langkah sebenar yang telah dimuktamadkan secara dokumen rasmi.

Tindakan ini bukan kosmetik politik. Ia adalah bukti bahawa PAS sanggup memikul risiko persepsi, membuka ruang simbol perjuangan sendiri, dan berdiri sebagai pelindung rakan ketika ditekan.

Walaupun surat-surat ini akhirnya tidak digunakan kerana DAP dibenarkan menggunakan logo Roket pada hari penamaan calon, hakikat bahawa ia telah ditandatangani dan siap digunakan kekal sebagai fakta sejarah politik.

Emosi air mata dan tekanan psikologi

Krisis ini bukan sahaja bersifat pentadbiran dan politik, tetapi turut memberi kesan emosi mendalam.

Beberapa pimpinan kanan dan penyokong DAP, termasuk Lim Kit Siang, dilaporkan berada dalam tekanan yang amat berat sehingga menitis air mata, memikirkan kemungkinan calon-calon mereka gugur hanya beberapa jam sebelum penamaan calon.

Episod ini memperlihatkan sisi kemanusiaan dalam politik bahawa di sebalik retorik dan keberanian di pentas, wujud kegelisahan nyata apabila masa depan perjuangan ditentukan oleh keputusan institusi pada saat akhir.

Akhirnya, selepas perkembangan saat akhir, DAP dibenarkan menggunakan logo Roket. Dalam PRU13, DAP bertanding di 53 kerusi Parlimen dan 103 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Hakikat ini penting ditegaskan bagi menggambarkan skala tekanan yang dihadapi; sebuah parti yang mengemukakan pencalonan besar pada peringkat nasional dan negeri hampir terpaksa bertanding menggunakan logo parti lain akibat krisis kepimpinan dan pentadbiran.

‘Roket sudah mendarat di Bulan’

Dalam nada sinis tetapi sarat makna, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merumuskan situasi tersebut dengan kata-kata yang kini menjadi sebahagian daripada memori politik negara, “Roket sudah mendarat di bulan.”

Ungkapan ini merakam satu realiti bahawa DAP yang sinonim dengan simbol Roket, pernah berada selangkah untuk bertanding di bawah lambang Bulan PAS, dan hanya terselamat pada saat-saat akhir.

Pengajaran besar: Kepimpinan, gabungan dan akibat

Episod ini wajar dijadikan pengajaran kepada semua parti politik, khususnya yang bergerak dalam kerangka gabungan:

Pertama, kepimpinan parti yang tidak diurus dengan kemas dan tuntas boleh membuka ruang kepada tekanan luar pada waktu paling kritikal.

Kedua, pertikaian dalaman yang dibiarkan berlarutan bukan sahaja melemahkan parti, malah boleh menjerat rakan-rakan gabungan ke dalam situasi terpaksa berkompromi besar.

Ketiga, dalam politik gabungan, kelemahan satu parti tidak bersifat terasing, sebaliknya memberi kesan kepada keseluruhan pakatan dari segi strategi, simbol dan kepercayaan pengundi.

Fakta sejarah yang tidak boleh dipadam

Hakikatnya, DAP pernah bersetuju untuk menggunakan logo Bulan PAS lengkap dengan surat watikah dan kebenaran rasmi yang telah ditandatangani oleh pimpinan tertinggi PAS sendiri.

Walaupun ia tidak berlaku pada kertas penamaan calon, ia telah berlaku dalam realiti politik. Sejarah telah mencatatnya. Dan daripada peristiwa ini, satu hakikat harus diinsafi; politik bukan sekadar slogan dan prinsip yang dilaungkan, tetapi tentang keupayaan mengurus kepimpinan, menjaga keutuhan organisasi, dan setia kepada rakan ketika saat paling getir.

Dan dalam situasi Perikatan Nasional yang sudah melangkaui satu purnama tiada Pengerusi, adalah diyakini PAS sentiasa bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan.

TS DR HAJI MOHD SUFFIAN HAJI YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
ADUN Bandar Baharu
Fellow Yayasan Strategik Lestari
Fellow Yayasan Kedah Sejahtera – HARAKAHDAILY 2/2/2026

- Advertisement -
- Advertisement -