Tolak spekulasi ‘Muhyiddin exit’: PAS kekal berprinsip, PN mesti diperkukuh

- Advertisement -

TULISAN ‘no holds barred: Muhyiddin exit’ oleh Dr Marzuki Mohamad adalah sarat dengan andaian, spekulasi dan naratif konspirasi yang sengaja dibina bagi membentuk persepsi buruk terhadap PAS, khususnya dakwaan kononnya PAS sedang merancang pengkhianatan politik dan akhirnya akan bersama PH. Dakwaan ini bukan sahaja tidak berasas, malah mengelirukan rakyat serta merosakkan kewarasan politik. Beberapa perkara perlu dijelaskan secara berfakta dan berprinsip:

Pertama, PAS tidak pernah dan tidak akan bersama PH. Ini bukan pendirian sementara atau taktikal, tetapi keputusan dasar parti yang diputuskan secara kolektif melalui Majlis Syura Ulamak, Muktamar PAS dan kepimpinan tertinggi parti. Rekod PAS sejak PRU15 sehingga hari ini jelas dan konsisten. PAS kekal sebagai blok pembangkang yang tegas menentang PH atas dasar prinsip, bukan kepentingan sementara. Naratif bahawa PAS akhirnya akan bersama PH hanyalah imaginasi politik pihak yang ketandusan hujah.

Kedua, isu kepimpinan PN bukan projek ‘Muhyiddin exit’. Apa yang dibangkitkan oleh PAS ialah soal tadbir urus, struktur dan kejelasan kepimpinan PN selaras dengan Perlembagaan PN. Menegur, menasihati dan mencadangkan penambahbaikan adalah kewajipan menyelamatkan bahtera PN.

- Advertisement -

Ketiga, lawatan pemimpin PAS bukan bukti konspirasi. Menggambarkan kunjungan Mursyidul Am, Presiden dan pimpinan PAS ke rumah Tan Sri Muhyiddin sebagai petanda krisis atau pakatan sulit adalah tafsiran tidak jujur. Dalam politik beradab, pertemuan, musyawarah dan perbincangan tertutup adalah amalan biasa. Ia mencerminkan kematangan, bukan kelemahan. Menjadikannya bahan spekulasi liar hanya menzahirkan politik kebencian.

Keempat, PAS tidak gelojoh merebut jawatan atau kuasa. Fakta perlu dinyatakan dengan adil. Sejak awal penubuhan Perikatan Nasional, PAS sentiasa memberi ruang kepada BERSATU untuk memimpin gabungan, walaupun PAS memiliki jumlah kerusi Parlimen yang lebih besar, menguasai lebih banyak negeri serta mempunyai jentera dan kekuatan akar umbi yang paling tersusun.

Di peringkat pusat dan negeri, jentera PAS bekerja keras membantu calon dan kepimpinan BERSATU, demi memastikan kestabilan dan kelangsungan PN. PAS terus memberi kepercayaan dan ruang kepimpinan, bukan kerana kelemahan, tetapi kerana sikap bertanggungjawab dan besar jiwa.

Namun, pergolakan dalaman BERSATU yang berlarutan akhirnya menjadi wabak politik yang bukan sahaja melemahkan parti itu sendiri, malah memberi kesan langsung kepada PN dan turut menjejaskan PAS. Menegur keadaan ini bukan gelojoh merebut kuasa, tetapi usaha menyelamatkan gabungan daripada terus rosak dari dalam.

Kelima, senario PAS kalah besar dan terpaksa menyertai PH adalah propaganda. Realiti politik semasa menunjukkan sebaliknya. PAS sewaktu PRU14 boleh memilih bersama PH tetapi memilih menghadapi PH dan BN sendirian kerana prinsip. Yang memilih bersama PH sewaktu itu adalah BERSATU.

Cubaan menakut-nakutkan penyokong PAS dengan ramalan kononnya PAS akan rebah dan akhirnya menyerah diri kepada PH adalah permainan psikologi politik yang gagal membaca realiti semasa.

Akhirnya, PN tidak boleh dibina atas emosi dan andaian liar. PN mesti diperkukuh dengan kejelasan struktur, kejujuran kepimpinan dan disiplin kolektif. Menjadikan PAS sebagai watak jahat untuk menutup kelemahan sendiri atau meraih simpati politik adalah pendekatan tidak matang yang hanya merosakkan kepercayaan rakyat.

Yang perlu diselamatkan bukan individu, tetapi integriti perjuangan dan amanah rakyat.
Politik fitnah mungkin bising, tetapi politik berprinsip sentiasa menang dalam jangka panjang.

USTAZ MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 2/2/2026

- Advertisement -