
HARI ini Dr Marzuki menulis lagi. Dan kali ini, terus terang saya katakan, tulisannya lebih mengecewakan daripada yang sebelum ini. Bukan sebab berbeza pandangan, tetapi kerana tulisan ini jelas menunjukkan Dr Marzuki tidak memahami proses perjalanan dan tadbir urus sesebuah organisasi politik.
Tapi saya tak salahkan Dr Marzuki sepenuhnya. Setahu saya, dia tak pernah pegang jawatan dalam organisasi politik. Latar dia pun pensyarah sains politik universiti, kemudian berkhidmat sebagai pegawai kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).
Dalam tulisan terbaru ni, Dr Marzuki bercakap mengenai ‘deadlock’ yang datang sebab kononnya MIPP dan Gerakan tolak PAS sebagai Pengerusi PN. Tapi yang hairannya, belum pernah dengar Presiden MIPP atau Gerakan sebut secara terbuka atau tertutup.
Dr Marzuki juga tulis mengenai kewujudan Majlis Presiden yang diketuai seorang Pengerusi, dan cadangan penubuhan Majlis Eksekutif yang juga diketuai seorang Pengerusi.
Malah, dicadangkan supaya kuasa Pengerusi PN sekarang dibahagikan kepada Pengerusi Majlis Presiden dan Pengerusi Majlis Eksekutif.
Oleh sebab itu, katanya, Perlembagaan PN perlu dipinda untuk membolehkan penubuhan Majlis Eksekutif ini, dan perinciannya akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal untuk dicadangkan kelak.
Ingat betul-betul perkataan ‘perlu’ di sini ya.
Oleh sebab itu, Dr Marzuki pun buat kesimpulan bahawa jawatan Pengerusi PN kini sudah menjadi ‚redundant’.
Di sinilah silap besar Dr Marzuki. Dia tidak faham asas tadbir urus organisasi politik.
Dalam mana-mana organisasi, khususnya parti politik, perlembagaan hanya boleh dipinda melalui mesyuarat yang sah, dan mesyuarat itu mesti dipengerusikan oleh seorang Pengerusi yang sah. Ini asas, bukan tafsiran ya.
Dalam keadaan sekarang, Tan Sri Muhyiddin dah letak jawatan sebagai Pengerusi PN. Maka mengikut peruntukan Perlembagaan PN, Majlis Tertinggi (MT) PN perlu bersidang terlebih dahulu untuk melantik seorang Pengerusi PN yang baharu.
Selepas itu barulah urusan lain boleh diteruskan, termasuk apa sahaja cadangan struktur baharu seperti yang dihujahkan oleh Dr Marzuki, sekiranya dipersetujui oleh MT PN.
Faham tak, nak pinda perlembagaan macam mana kalau Pengerusi pun tak ada lagi.
Atas sebab itulah Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selaku Timbalan Setiausaha Agung PN, mengeluarkan notis mesyuarat MT mengikut peruntukan Perlembagaan PN.
Sepatutnya itulah perkara paling utama dan paling penting diselesaikan dahulu, melantik Pengerusi PN yang baharu.
Tetapi yang peliknya, Tan Sri yang dah pun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN boleh pula panggil mesyuarat ‘pre-council’ Pengerusi parti-parti komponen di rumah beliau.
Nak tanya jugalah, guna peruntukan mana dalam Perlembagaan PN panggil mesyuarat ‘pre-council’ ya Dr Marzuki?
Susah sangatkah untuk bersetuju adakan mesyuarat MT PN secara rasmi dan menyelesaikan pelantikan Pengerusi PN? Kalau ikut logik, tak susah langsung. Tapi nampaknya macam sengaja tak nak dipanggil mesyuarat MT PN.
Perlu ingat PAS bukan gila kuasa nak ambil alih Pengerusi PN, tetapi kerana ada permintaan dari dalam BERSATU sendiri dan juga penyokong PN yang minta PAS untuk lead PN kerana melihat perpecahan kronik dalam BERSATU. Semua ini menurut mereka berpunca dari kepimpinan TSMY dan Pegawai keliling TSMY yang tak terlibat pun dalam organisasi BERSATU.
Satu lagi perkara yang terus terang saya sendiri tak faham macam mana seorang Setiausaha Politik lantikan (unelected) boleh menyerang Timbalan Presiden yang dipilih dalam mesyuarat agung (elected), dan Lembaga Disiplin BERSATU langsung tak ambil apa-apa tindakan.
Tak mengapalah. Itu hak mereka. Parti mereka. Tapi jangan pula seret PAS masuk dalam kekusutan dalaman mereka. Fokus PAS adalah rejuvenasi PN dan bersedia ke arah PRU16. Rakyat duk harap kat kita ni. Faham tak?
Salam hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/2/2026











