
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS Wilayah Persekutuan (DHPP Wilayah) berjaya menganjurkan program ‘Tanneer Panthal’ menerusi pengedaran makanan dan minuman kepada para penganut Hindu serta pengunjung sempena Perarakan Chariot Thaipusam 2026, di sini.
Program tersebut berlangsung bersempena Perarakan Silver Chariot yang bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S. Lee pada sebelah malam sebelum berakhir di Batu Caves.
Perarakan itu dianggarkan disertai kira-kira 150,000 penganut yang mengiringi chariot sebagai sebahagian daripada upacara keagamaan tahunan tersebut.
‘Tanneer Panthal’ ialah istilah dalam bahasa Tamil yang merujuk kepada pondok atau gerai air percuma yang didirikan untuk orang ramai.
Melalui program berkenaan, sebanyak 5,000 pek makanan dan minuman telah diedarkan di kanopi DHPP Wilayah yang didirikan berhadapan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, sebagai tanda keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam meraikan kepelbagaian agama dan budaya di negara ini.

Program anjuran DHPP Wilayah Persekutuan itu diketuai oleh Ts. Dr. Subash Chandrabose bersama ahli jawatankuasa dan 30 ahli DHPP Bandar Tun Razak, Batu, Lembah Pantai dan Segambut yang berganding bahu memastikan kelancaran perjalanan program.
Thaipusam merupakan perayaan penting dalam kalendar penganut Hindu, khususnya masyarakat Tamil, bagi memperingati kemenangan Dewa Murugan ke atas kejahatan.
Perayaan ini lazimnya disambut dengan perarakan chariot, nazar, doa serta amalan kerohanian yang menuntut disiplin dan pengorbanan di samping menjadi simbol kesyukuran, keimanan dan penyucian diri.
DHPP Wilayah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para pemimpin PAS serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan bantuan perikemanusiaan bagi menjayakan program tersebut.
Mereka menyifatkan sokongan tersebut amat bermakna dan banyak membantu kelancaran program.

Menurut Subash, program ‘Tanneer Panthal’ membuka ruang kepada orang ramai untuk lebih mengenali PAS dan DHPP sebagai organisasi yang menitikberatkan nilai kemanusiaan, keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat majmuk.
Subash turut menegaskan komitmen untuk terus aktif melaksanakan program kebajikan dan kemasyarakatan demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum. – HARAKAHDAILY 1/2/2026












