Google benar pengguna tukar alamat e-mel

Cerita di sebalik

Ciri baharu Google yang membenarkan pengguna menukar alamat e-mel memberikan satu kelegaan.
- Advertisement -

BARU-BARU ini, Google memperkenalkan satu ciri baharu iaitu kemudahan untuk menukar alamat e-mel tanpa perlu menutup akaun Google sedia ada. Sebelum ini, alamat Gmail dianggap kekal. 

- Advertisement -

Jika seseorang ingin menukar alamat e-mel, satu-satunya pilihan ialah membuka akaun baharu dan memindahkan semua data secara manual termasuk e-mel lama, fail Google Drive, foto, langganan, sejarah YouTube serta akses kepada pelbagai perkhidmatan yang berkaitan. Proses ini bukan sahaja memakan masa, malah berisiko menyebabkan kehilangan data atau gangguan akses. 

Dengan perubahan ini, Google membenarkan pengguna memilih alamat Gmail baharu sambil mengekalkan akaun, data dan perkhidmatan yang sama. Alamat lama masih boleh berfungsi sebagai alias, maksudnya e-mel yang dihantar ke alamat lama akan tetap sampai ke peti masuk yang sama.

Salah satu sebab utama mengapa ramai pengguna ingin menukar alamat e-mel ialah kerana pilihan yang terhad ketika pendaftaran awal. Ramai pengguna pada mulanya mendaftar Gmail dengan tergesa-gesa, sama ada kerana keperluan akademik, kerja atau sekadar ingin menggunakan perkhidmatan Google. 

Nama yang diinginkan mereka sudah pun digunakan oleh orang lain. Hal ini memaksa mereka menambah nombor rawak, tarikh lahir atau gabungan aksara yang sebenarnya tidak mempunyai sebarang makna. Ketika itu, perkara ini mungkin kelihatan remeh. 

Namun, apabila alamat e-mel tersebut digunakan secara meluas untuk urusan rasmi, pekerjaan atau komunikasi profesional, alamat yang mengandungi nombor rawak atau struktur janggal boleh menimbulkan rasa kurang selesa dan tidak profesional.

Selain itu, ramai pengguna juga menyesal dengan nama yang mereka pilih di awal kehidupan digital mereka. Ada yang menggunakan nama panggilan, istilah tidak formal atau nama samaran yang mencerminkan minat dan personaliti ketika muda. 

Apabila usia meningkat dan peranan berubah, alamat e-mel lama mungkin tidak lagi sesuai dengan identiti semasa. Namun, sebelum ini, tiada jalan mudah untuk membetulkan keadaan tersebut tanpa menukar keseluruhan akaun. Maka ciri baharu ini memberi peluang kepada pengguna untuk memperkemas identiti digital mereka tanpa perlu memulakan segalanya dari awal.

Proses menukar alamat e-mel Gmail secara umumnya adalah mudah. Pengguna perlu log masuk ke tetapan akaun Google, pergi ke bahagian maklumat peribadi atau akaun dan membuat pilihan untuk menukar alamat e-mel. 

Pengguna kemudian boleh menyemak ketersediaan alamat baharu dan mengesahkan perubahan tersebut. Walaupun Google mengenakan had tertentu seperti kekerapan perubahan untuk mengelakkan penyalahgunaan, kelebihan utama ialah semua data sedia ada kekal utuh. Ini menghapuskan kebimbangan terbesar yang selama ini menghalang pengguna daripada menukar alamat e-mel mereka.

Selain faktor penyesuaian nama, terdapat juga sebab praktikal lain untuk menukar alamat e-mel. Sebagai contoh, seseorang mungkin ingin memisahkan identiti peribadi dan profesional dengan lebih kemas atau menyelaraskan alamat e-mel dengan nama sebenar selepas perubahan status peribadi. 

Ada juga yang ingin memendekkan alamat e-mel yang terlalu panjang atau sukar disebut terutamanya apabila digunakan dalam urusan perniagaan, pembentangan atau komunikasi rasmi. Kesemua faktor ini berkait rapat dengan persepsi, kredibiliti dan kemudahan penggunaan dalam jangka panjang.

Namun, aspek yang paling penting ialah faktor keselamatan. Dalam dunia digital hari ini, alamat e-mel turut menjadi sebahagian daripada penanda identiti seseorang. Tahun 2025 menyaksikan pelbagai isu yang berkait dengan keselamatan email khususnya yang melibatkan Gmail, termasuk dakwaan kebocoran data yang diakibatkan oleh serangan ‘malware’ yang menyebabkan maklumat pengguna, termasuk kata laluan, terdedah. 

Kebocoran dari sistem Salesforce Google juga membangkitkan kebimbangan, dengan penggodam memanfaatkan maklumat yang terdedah untuk melaksanakan serangan ‘phishing’. Peningkatan serangan ‘phishing’ yang berkesudahan dengan insiden pengambilalihan akaun mangsa, menjadikan pengguna Gmail sebagai sasaran utama. 

Satu lagi isu keselamatan ialah hakikat bahawa banyak sistem menggunakan alamat e-mel sebagai nama pengguna. Ini bermakna alamat e-mel seseorang telah diketahui dengan meluas oleh pelbagai pihak daripada pentadbir sistem, penyedia perkhidmatan hinggalah kepada pihak ketiga. Apabila alamat e-mel yang sama digunakan berulang kali sebagai pengenal log masuk, ia menjadi sasaran yang bernilai tnggi. Penyerang tidak perlu meneka nama pengguna kerana ia sudah diketahui. 

Bayangkan bagaimana seseorang yang berada dalam dua senario di atas akan menghadapi kesulitan seumur hidup kerana berhadapan dengan kemungkinan diserang pada bila-bila masa. Maka ciri baharu daripada Google yang membenarkan mereka menukar alamat e-mel baharu memberikan satu kelegaan.

Kesimpulannya, keputusan Google untuk membenarkan pengguna menukar alamat e-mel berkemungkinan untuk menangani masalah yang berkait dengan identiti digital, penyesalan pilihan awal, keperluan profesional dan risiko keselamatan yang semakin meningkat. 

Ciri ini wajar diberi perhatian kerana ia memberi pengguna lebih kawalan terhadap cara mereka dikenali dan dilindungi dalam dunia digital. – HARAKAHDAILY 1/2/2026

- Advertisement -