
KOTA BHARU: Isu kemasukan murid berusia enam tahun ke Darjah Satu tidak seharusnya dinilai berdasarkan faktor umur semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tahap kesediaan mental dan fizikal murid serta keupayaan sistem pendidikan secara menyeluruh.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, faktor umur bukan isu utama, namun pelaksanaan dasar berkenaan melibatkan banyak aspek termasuk bilik darjah, guru serta persediaan sekolah.
“Faktor usia saya tidak nampak masalah, tetapi kesediaan dari sudut mental dan fizikal, di pihak sekolah dan guru-guru itu yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat dwi-mingguan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebarang perubahan dasar pendidikan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana ia memberi kesan langsung kepada keseluruhan sistem persekolahan.
Tambah beliau, kerajaan perlu memastikan sekolah rendah serta institusi pendidikan berkaitan benar-benar bersedia sebelum menerima kemasukan murid pada usia tersebut.
“Perkara ini melibatkan banyak kelas, guru dan struktur pembelajaran. Kesediaan itu perlu ada,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pendekatan berhati-hati perlu diambil bagi memastikan sebarang perubahan dasar pendidikan tidak menjejaskan kualiti pendidikan serta kesejahteraan murid dan guru.
“Ini bukan soal umur semata-mata, tetapi soal kesediaan sistem,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2026











