RUU URA perlu dihapuskan, bukan sekadar ditangguh

UEC  perlu patuhi silibus KPM jika mahu diiktiraf

Serahan memorandum daripada wakil NGO iaitu Presiden PERKASA, Syed Hasan Syed Ali kepada Naib Presiden PAS, Ustaz Idris di hadapan pintu masuk Parlimen hari ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad merakamkan tahniah dan terima kasih kepada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir membawa memo membantah Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA)  di hadapan pintu masuk Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun kabinet bercadang untuk menangguhkan URA, pendirian PAS jelas bahawa rang undang-undang itu mesti dihapuskan dan bukan sekadar ditangguhkan.

“Saya bersama Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional telah keluar menerima memo tersebut dan memberi sokongan moral kepada para pejuang masyarakat sivil yang konsisten mempertahankan hak rakyat,” katanya..

Dalam perkembangan sama, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, NGO terbabit turut membawa memo berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Menurutnya, isu itu perlu ditegaskan bukan isu perkauman, sebaliknya isu pematuhan kepada peraturan dan silibus nasional.

Menurut beliau, hakikatnya banyak sijil daripada sekolah agama tidak diiktiraf kerana tidak mengikuti silibus arus perdana.

“Sebagai contoh, Sijil Tinggi Ugama (STU) yang dikeluarkan oleh Yayasan Islam Kelantan tidak lagi diiktiraf.

“Dahulu STU boleh melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, namun selepas ketetapan bersama antara Kerajaan Malaysia dan Al-Azhar, hanya STAM diterima. Kita patuh keputusan tersebut,” jelasnya.

Tambah Idris, banyak sijil sekolah tahfiz juga tidak diiktiraf kerana tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sehubungan itu, beliau menegaskan persoalan berhubung pengiktirafan UEC adalah mudah, iaitu sekiranya UEC mahukan pengiktirafan dan bantuan kerajaan, maka perlu mematuhi silibus KPM.

“Peraturan mesti adil dan terpakai kepada semua. Prinsip keadilan tidak boleh dipilih-pilih,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2026

- Advertisement -

- Advertisement -