ADUN Bota tinjau isu saliran jejas sawah padi

- Advertisement -

PARIT: Isu aliran air longkang dari kawasan perumahan yang menjejaskan kawasan penanaman padi di sekitar Jalan Tronoh, Bota mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Beliau yang mesra disapa sebagai ‘Yong’ turun padang mengadakan lawatan tapak di belakang Taman Seri Molek semalam. bagi meneliti situasi sebenar di lapangan.

- Advertisement -

Menurut Najihatussalehah, tinjauan tersebut bertujuan mencari jalan penyelesaian terbaik memandangkan aliran air dari taman perumahan tersebut memberi kesan langsung kepada ekosistem sawah padi berhampiran.

Beliau menjelaskan bahawa isu tersebut perlu ditangani secara tuntas melalui kolaborasi strategik antara pihak Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi-agensi berkaitan.

“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah aliran air longkang seliaan Majlis tidak boleh terus dimasukkan ke dalam saluran JPS.

“Ini kerana air terusan tersebut merupakan sumber utama yang digunakan oleh para pesawah untuk aktiviti pertanian mereka,” katanya.

Tambahnya, tindakan awal dan segera amat kritikal memandangkan komuniti pesawah dijangka akan memulakan musim menanam semula pada bulan Mac 2026.

Mengulas mengenai pelan tindakan, Dr Najihatussalehah berkata, setakat ini tiada pengumuman terperinci yang boleh dibuat.

“Buat masa ini, saya tidak berhasrat untuk mengumumkan sebarang pelan secara khusus kerana perkara ini masih memerlukan perbincangan lanjut bersama pihak atasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Namun, Insya-Allah tindakan susulan akan diambil bagi memudahkan urusan rakyat, khususnya bagi membela nasib para pesawah kita,” katanya.

Lawatan tersebut turut disertai oleh wakil-wakil daripada agensi berkaitan bagi mendengar penjelasan teknikal dan melihat sendiri keadaan parit buang di lokasi berkenaan. – HARAKAHDAILY 28/1/2026

- Advertisement -