
HARI ini genap 12 tahun sosok ini meninggalkan kita semua. Terhampar jasanya pada perjuangan Islam saat sukar masyarakat menerima konsep politik dan pemerintahan Islam. Korpus kehidupannya sinonim dengan buku dan ilmu, maka tidak pelik jika tokoh ini pernah diamanahkan memimpin Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu. Keberanian Almarhum membuka laluan untuk pelajar-pelajar MDQ Rusila menimba ilmu di Lampeter, Markfield di United Kingdom. Bukan sekadar bermukim ilmu di Asia Barat untuk menjadi pewaris perjuangan.
Sosok besar gerakan Islam semenjak pulang dari Ardhul Kinanah pada tahun 1981 itu tidak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanah air ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, serta melanjutkan kesarjanaannya di kampus al-Azhar bersama Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau di antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain Almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat, beliau secara sepenuh masa mewakafkan dirinya dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat di relung hati anak-anak muda di awal dekad 1980-an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam. Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglang buana ke serata dunia seperti ke Eropah, Asia Barat untuk mengkaderkan amilin parti.
Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982, seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS. Dalam pertengahan dekad 1980-an, beliau membentangkan kertas kerja mengenai pendidikan prasekolah di bawah PAS dan akhirnya PASTI telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini.
Bersama teman-teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS di pelbagai posisi parti.
Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, PASTI, sekolah rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI.
Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan DUN Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya, Ustaz Hilmi Harun mewakili konstitusi tersebut. Anakandanya yang lain juga terlibat aktif dalam PAS, seperti Ustaz Hamdi, Ustazah Dr Hamidah dan lain-lain zuriatnya.
Perjalanan Almarhum dalam bidang siasah juga panjang namun menarik. Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di DUN Manir. Almarhum bertanding dalam pilihan raya sejak 1978, dipanggil pulang ke Terengganu saat beliau sedang melumaskan kajian PhD di Universiti Al-Azhar Mesir. Dalam PRU 1978, beliau tewas dan kembali menyambung pelajarannya di Mesir, namun sekali lagi dipanggil pulang untuk bertanding di DUN Manir pada tahun 1982. Almarhum berjaya merampas DUN Manir seterusnya membina keampuhan Manir sebagai kubu PAS di negeri Tok Ku Paloh itu.
Beliau antara 10 orang calon APU yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam Pilihan Raya Umum 1990 yang menyaksikan aksi serpihan Umno, Semangat 46. Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti _‘Muslimat Pembangun Ummah’, ‘Berbilang-bilang jemaah’_ serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.
Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami. Isterinya, Almarhum Ustazah Datin Zainab pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat manakala anak-anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi pernah menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS. Yang paling penting, beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latar belakang sosial dan pendidikan.
Markas Tarbiah Kubang Lembik, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid (perkaderan dakwah).
Peranan paling besar Almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu. Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah. Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti SRAB, KOSTAQ, KOSPINT, pemerkasaan KUSZA sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu. Almarhum juga menjadi Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu serta banyak jasa-jasa lain dalam sektor kemasyarakatan.
Insan hebat serta berjasa akan terus kekal dalam ingatan kolektif kita semua. Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat dua bulan sebelum beliau kembali ke Rahmatullah, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus. Untaian kata-kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas di medan dakwah, siasah dan tajnid ini.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 25/1/2026











