PAS Melaka berkembang pesat, hampir 50 cawangan baharu dibentuk

- Advertisement -

AYER KEROH: PAS Melaka terus menunjukkan perkembangan pesat apabila hampir 40 hingga 50 cawangan baharu telah dibentuk, termasuk hampir 20 cawangan yang baru diluluskan, manakala kira-kira 30 lagi cawangan yang mempunyai penaja kini sedang dalam proses kelulusan.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkembangan itu mencerminkan pertumbuhan sokongan terhadap PAS di Melaka.

“Kita jangka akan lebih banyak lagi cawangan-cawangan PAS akan dibuka dan pimpinan PAS pusat mengalu-alukan (perkembangan ini),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran jentera pilihan raya PAS Negeri Melaka, di Dewan Muallim, Bukit Katil, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat dan aktivis politik di Melaka untuk tampil memberikan sokongan serta dukungan kepada perjuangan PAS dengan memperbanyakkan lagi penubuhan cawangan di negeri berkenaan.

“Sementara itu, program-program persiapan pilihan raya akan dijalankan pada semasa ke semasa,” katanya yang juga bekas Setiausaha Agung Umno.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, PAS Pusat mengesahkan parti itu sudah memulakan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat, termasuk melancarkan jentera pilihan raya di semua peringkat.

Annuar Musa berkata, persiapan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Menteri Melaka serta Presiden Umno yang memaklumkan bahawa pilihan raya berkemungkinan diadakan dalam tempoh antara dua hingga 10 bulan dari sekarang.

“Ini bermakna pilihan raya akan diadakan dalam tahun ini walaupun kita tahu pilihan raya boleh diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas daripada bulan Disember ataupun tarikh matang genap lima tahun tempoh Dewan Negeri,” ujarnya.

Menurut Annuar, sebagai sebuah parti politik yang akan menyertai PRN berkenaan, PAS mengambil langkah proaktif dengan membentuk jentera pilihan raya lebih awal bagi memastikan kesiapsiagaan menyeluruh.

Tambah beliau, Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat telah memulakan kerjasama rapat dengan Jabatan Pilihan Raya di peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan semua persiapan yang diperlukan untuk menghadapi pilihan raya dalam tempoh yang singkat.

“Sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pusat, saya mengesahkan bahawa kerjasama ini sudah bermula dan semua persiapan sedang dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2026

- Advertisement -