
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengesahkan beliau tidak akan menghadiri perlawanan Bola Sepak Kebangsaan (NFL) Super Bowl tahun ini dan pada masa sama mengkritik pemilihan penghibur persembahan band punk-rock, Green Day dan penyanyi latin, Bad Bunny pada acara tahunan itu yang disifatkannya sebagai ‘pilihan teruk’.
Trump berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama New York Post, merujuk kepada pengumuman penganjur yang memilih bintang rap Latin, Bad Bunny, dan kumpulan punk-rock tersohor, Green Day, sebagai penghibur acara yang dijadualkan berlangsung di San Francisco pada 8 Februari ini.
“Saya anti mereka (Bad Bunny dan Green Day). Saya fikir ia adalah pilihan yang teruk.
“Apa yang dilakukannya (penganjur) hanyalah menyemai kebencian. Teruk sungguh!” katanya.
Kedua-dua Bad Bunny dan Green Day akan membuat persembahan semasa perlawanan akhir kejohanan NFL, dengan Bad Bunny akan mengambil bahagian dalam persembahan separuh masa dan Green Day dijadualkan untuk naik ke pentas untuk sesi pembukaannya.
Bagaimanapun, Trump memberikan pula alasan kononnya bahawa kritikan terhadap barisan penghibur NFL 2026 bukanlah sebab utama beliau memilih untuk tidak menghadiri perlawanan akhir NFL tersebut.
“Ia (lokasinya) terlalu jauh. Saya (boleh) akan pergi (ke Super Bowl 2026). Saya mempunyai pemain kegemaran yang hebat di Super Bowl. Mereka menyukai saya,” katanya sambil menambah beliau mungkin mempertimbangkan kehadiran jika jarak perjalanan lebih dekat.
Super Bowl merupakan acara sukan tahunan paling berprestij dalam kalendar NFL dan antara perlawanan paling banyak ditonton di dunia. Perlawanan edisi tahun ini dijangka menarik jutaan penonton global.
Bad Bunny, yang dilahirkan di Puerto Rico dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminat berbahasa Sepanyol, sebelum ini lantang mengkritik Trump, khususnya berkaitan isu imigresen.
Tahun lalu, Bad Bunny melancarkan lagu berjudul Nuevayol yang menampilkan suara Trump yang ditiru, mengandungi mesej sokongan terhadap komuniti pendatang di Amerika Syarikat, termasuk masyarakat Mexico, Dominican, Puerto Rico, Colombia, Venezuela dan Cuba.
Sementara itu, vokalis utama Green Day, Billie Joe Armstrong, baru-baru ini menyuarakan sokongan terhadap penunjuk perasaan anti-pengusiran di Minnesota.
Beliau turut menyatakan pendirian tidak menyokong agenda MAGA (Make America Great Again), yang sering dikaitkan dengan Trump.
Green Day juga telah menunjukkan sokongan padu untuk Palestin melalui gerak isyarat awam, terutamanya menukar lirik dalam lagu, “Jesus of Suburbia” kepada “like the kids from Palestine” di konsert Coachella 2025.
Billie Joe juga telah mengibarkan bendera Palestin di pentas konsertnya di Malaysia pada Februari 2025.
Persembahan ini menonjolkan aktivisme politik yang konsisten oleh kumpulan itu, menggunakan platform mereka untuk menyokong solidariti Palestin di tengah-tengah konflik yang berterusan, yang bergema dengan peminat tetapi turut mendapat kritikan daripada sesetengah pihak.
Untuk rekod, Trump menghadiri Super Bowl edisi lalu di New Orleans yang menemukan Kansas City Chiefs dan Philadelphia Eagles.
Perlawanan itu menyaksikan Eagles menewaskan Chiefs, dengan kehadiran bintang pop, Taylor Swift yang memberi sokongan kepada pasangannya, Travis Kelce, pemain posisi ‘tight end Chiefs’.
Super Bowl telah menjadi perlawanan kejuaraan tahunan NFL sejak 1966, menggantikan Perlawanan Kejohanan NFL.
Sejak 2022, perlawanan ini diadakan pada Ahad kedua bulan Februari setiap tahun dan kekal sebagai simbol kemuncak musim bola sepak Amerika.











