
KUALA LUMPUR: Pendekatan ‘PAS for All’ bukan sekadar slogan kosong, sebaliknya merupakan satu komitmen politik yang berteraskan keadilan, keterangkuman dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, kesejahteraan sebenar hanya tercapai apabila prinsip keadilan dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek ekonomi, peluang dan tadbir urus.
Menurutnya, politik adalah medan untuk ‘manage the difference’, iaitu mengurus perbezaan secara berhemah, matang dan berprinsip, bukannya menajamkan jurang antara kaum.
“Kita mahu membawa mesej bahawa Islam itu adil untuk semua. Kita raikan kepelbagaian dan urus perbezaan dengan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hi Tea Perpaduan anjuran Pejabat Pesuruhjaya PAS Selangor dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional PAS Selangor di sini, semalam.
Berlangsung di Al Amber Chinese Muslim Restaurant, majlis berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 90 wakil daripada pelbagai pertubuhan komuniti Cina di Selangor.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi PAS Negeri termasuk Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Shafie Ngah dan Hasnizan Harun.
Antara tokoh korporat dan pemimpin masyarakat yang hadir termasuk Puan Sri Dr Susan Cheah dari Sunway Group dan Tan Sri Dr Sow Chin Chuan dari Federation of Public Listed Companies.
Program ini dipengerusikan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Selangor, Dr Firdaus Azim dengan kerjasama Pegawai Khas Pejabat Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Shawn Loh.
Antara persatuan yang hadir adalah Persatuan Peniaga Import dan Eksport Guangdong-Malaysia, Kelab Muhibbah Kaum Cina Klang, She Rises Women Empowerment, Malaysia Chinese Women Entrepreneurs Association dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Dalam pada itu, Ab Halim yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Paya Jaras turut berkongsi pesanan bermakna daripada Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai hubungan kaum.
“Almarhum Tuan Guru pernah berpesan; ‘Orang Cina ini suka membaca sebab itu mereka luas pengetahuan, untuk bawa mereka kenal kita, kita kena ketuk pintu mereka.’
“Pesanan ini membawa maksud bahawa usaha membina hubungan dan kefahaman antara kaum menuntut inisiatif proaktif, sikap rendah hati dan kesediaan untuk mendekati masyarakat lain dengan hikmah, dialog serta penghormatan terhadap budaya dan pemikiran mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono mengambil kesempatan menjelaskan pendirian PAS berhubung isu penternakan babi yang dibangkitkan baru-baru ini.
Beliau juga menegaskan, fokus PAS adalah konsisten terhadap isu pencemaran alam sekitar yang berlaku di Tanjung Sepat serta pembukaan ladang baharu di Bukit Tegar.
“Isu ini bukan berkaitan soal pemakanan atau sensitiviti agama semata-mata, sebaliknya menyentuh soal pengurusan ladang yang tidak teratur.
“Persoalan utama ialah tahap penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri, walaupun ladang-ladang tersebut dipindahkan ke lokasi baharu, aspek alam sekitar mesti diutamakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2026











